HomeIsu tempatanPeruntukan RM500,000 disalurkan biayai pelbagai program di Penampang sehingga April lalu

Peruntukan RM500,000 disalurkan biayai pelbagai program di Penampang sehingga April lalu

Read Time:2 Minute, 15 Second

Penampang: Sebanyak RM500,000 peruntukan telah disalurkan bagi membiayai pelbagai program yang dilaksanakan untuk kebaikan rakyat di kawasan Parlimen Penampang sehingga April lalu.

Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata, peruntukan itu adalah bagi membiayai pelbagai program pembangunan, aktiviti kemasyarakatan, pendidikan, kebajikan dan  bantuan bencana khusus untuk Parlimen berkenaan 

“Daripada jumlah peruntukan itu, sebanyak RM430,300 disediakan untuk sumbangan program-program persatuan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), keagamaan dan kemasyarakatan.

“Program Kebajikan dan kesejahteraan rakyat sebanyak RM37,200 dan bantuan untuk bencana sejumlah RM22,000. Kita menyalurkan sumbangan ini berdasarkan permohonan yang diterima di Pejabat Perhubungan Parlimen Penampang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena Perasmian Mini Tamu di Jeti Kampung Mahandoi, di sini, hari ini.

Teks ucapannya disampaikan oleh Setiausaha Politik Carl Moosom.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut memuji usaha penduduk kampung dan Persatuan Pelancongan Penampang atas kejayaan menganjurkan program Mini Tamu.

“Program seumpama ini amat baik bukan sahaja mempromosikan kawasan pelancongan di kawasan Penampang tetapi juga menunjukkan perpaduan, kerjasama dan kesatuan penduduk kampung dalam melaksanakan sesuatu program untuk kebaikan bersama. 

“Saya berharap acara ini diteruskan dengan pelbagai aktiviti lebih menarik pada masa akan datang, supaya bukan hanya dihadiri penduduk tempatan tetapi pelancong asing,” katanya.

Beliau berkata, sebagai wakil rakyat kawasan itu, beliau akan terus menyokong program-program pembangunan pelancongan selain perhatian terhadap keperluan-keperluan lain termasuk pembangunan infrastruktur, pendidikan, keagamaan dan kebajikan.

Mengenai skim-skim pembiayaan yang disediakan di bawah agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Ewon berkata, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) di bawah Tekun Nasional adalah inisiatif baharu yang beliau perkenalkan khusus untuk peniaga Tamu Sabah dan Sarawak.

“Tekun Nasional Negeri Sabah menyediakan pembiayaan sejumlah RM2.5 juta tahun ini untuk SPUT. Setakat Jun tahun ini Tekun telah meluluskan sejumlah RM668,000 permohonan SPUT kepada 142 usahawan tamu di negeri ini. 

“Oleh itu saya menyeru para peniaga tamu atau pasar tamu supaya berkunjung ke mana-mana pejabat Tekun Nasional berdekatan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai SPUT dan pembiayaan- pembiayaan lain yang bersesuaian,” katanya.

Selain itu katanya, banyak lagi inisiatif baharu kementeriannya dan Kerajaan perpaduan yang dilaksanakan untuk membangunkan sektor keusahawanan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.

“Seperti yang saya nyatakan sebaik memulakan tugas di kementerian, saya akan memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak bagi membangunkan sektor PMKS tanpa menjejaskan fokus sedia ada dalam kementerian.

“Dalam tempoh lebih kurang tujuh bulan menerajui kementerian, pelbagai inisiatif baharu kementerian untuk Sabah antaranya SPUT, pembukaan Kampus Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Sabah. Kampus cawangan INSKEN di Sabah adalah yang pertama di seluruh negara.

“Institut Koperasi Malaysia (IKMa) iaitu agensi di bawah kementerian juga akan membuka cawangan baharu di Tawau dalam masa terdekat,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular