HomeUtama'Roadshow' khas diadakan sebelum laksana OKK - JBPM

‘Roadshow’ khas diadakan sebelum laksana OKK – JBPM

Read Time:2 Minute, 14 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bercadang akan mengadakan ‘roadshow‘ khas mengenai pindaan akta berkaitan Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) di premis-premis yang ditetapkan sebelum ia dilaksanakan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Dato’ Edwin Galan Teruki

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Dato’ Edwin Galan Teruki berkata, OKK ditubuhkan di premis yang ditetapkan adalah supaya setiap premis yang berisiko seperti bangunan tinggi, kilang yang berisiko akan ada orang yang bertanggungjawab terhadap keselamatan terutamanya dari segi hal keselamatan kebakaran.

Bagaimanapun katanya, sebelum OKK ini dilaksanakan akan ada satu ‘roadshow’ khas untuk tujuan ini.

“Selepas roadshow itu, mgkin kita ambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk mempunyai persiapan dan mungkin setahun untuk melaksanakan OKK berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Keselamatan Kebakaran anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah tahun 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Menurut Edwin, OKK ini penting dan bukan hanya seperti mana yang dikatakan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT), ia adalah lebih tinggi daripada itu, dia kena faham terhadap semua sistem-sistem yang dipasangkan di premis tersebut.

“Selain pandai mengguna peralatan serta boleh melatih penghuni atau pemilik premis keluar daripada bangunan jika berlaku kebakaran, dia akan membuat satu keputusan tentang apa-apa penyelenggaraan hal keselamatan termasuk mengadakan ‘fire drill’ dan ini adalah sangat penting,” jelasnya.

Tambah beliau, OKK dipertanggungjawabkan terdiri daripada pegawai premis yang dilantik oleh pemilik premis ataupun penghuni premis untuk hal-hal keselamatan di bangunan tersebut jika berlaku kebakaran. Pihak JBPM akan beri kursus atau mana-mana syarikat yang ditetapkan oleh Jabatan Bomba.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Dato’ Edwin Galan Teruki merakamkan gambar kenangan bersama pegawai-pegawai JBPM dan peserta seminar.

Mengulas lanjut mengenai program hari ini, Edwin berkata program ini sangat baik dan menunjukkan impak yang positif, setiap institusi ada keperluan untuk terlibat dalam memperkukuhkan aspek keselamatan kebakaran di premis-premis masing-masing.

Menurutnya, program ini diadakan sekali setahun juga merupakan satu-satunya program yang boleh menghimpunkan semua pemilik atau pengurus syarikat atau premis serta kakitangan bangunan yang ada di negeri ini.

“Melihat kepada program ini, ternyata ia menunjukkan sambutan yang baik, seterusnya membuktikan usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam melaksanakan tugas untuk memberi kesedaran dan latihan pengurusan risiko kebakaran kepada pemilik dan penghuni premis serta bangunan amat berkesan.

“Pekerja atau kakitangan diharapkan dapat menjalankan kerja secara sistematik, selamat dan efisien. Sudah tentu, dengan adanya pengetahuan ini sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan dan mengawal jumlah kemalangan serta kerugian harta benda daripada meningkat terutamanya di premis dan bangunan berisiko,” katanya.

Lebih 700 peserta menghadiri seminar ini termasuk dari Wilayah Persekutuan Labuan.

Turut hadir Pengarah Bahagian Operasi JBPM, Dato’ Ts. Ahmad Izram Osman dan Pengarah JBPM Negeri Sabah, Abdul Razak Muda.

RELATED ARTICLES
Utama

Nurul Yanadido ke Hongkod Koisaan kali kedua

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular