HomeEkonomiSESB, SK Nexilis Meterai Mou Pembekalan Elektrik

SESB, SK Nexilis Meterai Mou Pembekalan Elektrik

Read Time:1 Minute, 54 Second

BERNAMA

Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan SK Nexilis Malaysia untuk membekalkan tenaga elektrik kepada kilang pembuatan kerajang tembaga SK Nexilis yang berpangkalan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Pengerusi SESB Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata MoU berkenaan adalah satu perjanjian bekalan elektrik (ESA), menjadikan SK Nexilis Malaysia sebagai satu-satunya yang mendapat tarif khas di Sabah untuk menarik pelaburan asing ke negeri itu.

“Menerusi MoU ini, kita akan memberi keistimewaan kepada SK Nexilis Malaysia sebagai pengguna industri kuasa besar (LPC) yang terbesar di SESB apabila kilang itu beroperasi sepenuhnya kelak.

“SK Nexilis juga akan menjadi pengguna LPC untuk SESB dengan anggaran penggunaan sebanyak 70 megawatt (MW) dan anggaran jualan 45,360 megawatt-jam (MWh) sebulan, dan ini memberikan jangkaan jualan kepada SESB sebanyak RM122 juta setahun dan kenaikan jualan10.05 peratus,” katanya.ketika berucap pada majlis itu yang dirasmikan Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Sabah Phoong Jin Zhe.

Pada majlis MoU itu, SESB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mohd Yaakob Jaafar, manakala SK Nexilis diwakili CEO Shin Dong Hwan, disaksikan oleh Madius dan Phoong.

Mengulas selanjutnya, Madius berkata pembekalan tenaga elektrik ke kilang SK Nexilis telah pun dimula tugas pada Mac 2023. 

“Projek ini telah dikenal pasti sebagai antara projek berimpak tinggi dengan skop projek penyediaan dua ruang suis dan kerja-kerja berkaitan di Pencawang Masuk Utama Kayu Madang dan merentang kabel bawah tanah 132kV untuk menampung permintaan beban daripada kilang SK Nexilis. 

“Antara kerja yang telah dilaksanakan oleh SESB adalah membekal, menghantar, melengkapkan pemasangan, ujian dan pentauliahan peralatan elektrik,” katanya.

Beliau berkata dengan siapnya projek ini, keupayaan dan keberkesanan pengagihan kuasa ke SK Nexilis akan terjamin dan mampu menampung keperluan kilang pembuatan itu untuk beroperasi dengan lebih produktif seterusnya membantu menjana ekonomi Sabah.

 Phoong pula berkata kerjasama itu membantu memberikan impak positif kepada pelaburan SK Nexilis ke Sabah, khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan sejajar dengan polisi kerajaan negeri yang memerlukan syarikat asing mengambil 80 peratus tenaga kerja dalam kalangan penduduk tempatan.

“Dengan jumlah pelaburan sebanyak RM4.2 bilion, ini adalah pelaburan terbesar yang dimeterai dan telah bertapak di Sabah secara rasminya. Kilang kerajang tembaga itu dibina oleh syarikat SK Nexilis dari Korea Selatan di kawasan seluas 40.5 hektar di KKIP,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sistem air minuman secara mudah alih, berkuasa solar berjaya dibangunkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular