HomeUtamaKPM tidak kompromi isu murid dirotan sehingga cedera - Fadhlina

KPM tidak kompromi isu murid dirotan sehingga cedera – Fadhlina

Read Time:1 Minute, 16 Second

BERNAMA

Kuala Pilah: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi sekiranya benar dakwaan seorang murid lelaki Tahun Lima yang dirotan guru besar sehingga cedera di sebuah sekolah di Segamat, Johor dua hari lepas.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada pihak berkuasa dan pada masa sama, sesi intervensi termasuk sokongan psikososial kepada guru dan pelajar terlibat turut dilaksanakan.

“Kes ini kita dah serahkan untuk siasatan, kita kena hormat proses siasatan itu dan semua hasil akan dimaklumkan kembali kepada KPM.

“Saya memberi jaminan siasatan yang dijalankan adalah telus. Kita hendak maju dalam isu pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Mini Pendidikan MADANI Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang murid sebuah sekolah di Segamat mengalami kecederaan di badan dan muka selepas didakwa dirotan guru besar kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.

Fadhlina berkata sebarang tindakan ke atas guru besar berkenaan adalah bergantung kepada hasil siasatan.

“Semua proses siasatan harus dipatuhi termasuk jika memerlukan keterangan diambil untuk memastikan ia berlangsung dengan baik…dan kalau dia (guru besar) kena hadir beri keterangan atau sesi kaunseling, dia kena hadir,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata KPM sentiasa memantau komitmen dan tanggungjawab golongan pendidik secara keseluruhannya termasuk dengan mewujudkan Standard Guru Malaysia (SGM) bertujuan memastikan guru benar-benar mencapai kualiti ditetapkan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kes tiga bekas pelajar sebuah sekolah di Kota Kinabalu, Sabah yang masing-masing menerima pampasan RM50,000 selepas berjaya dalam saman terhadap guru bahasa Inggeris mereka yang ‘ponteng’ kelas selama tujuh bulan pada 2017.- BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular