HomeUtamaDialog Perundangan 3R tangani isu provokasi agama, bangsa & Institusi Raja-Raja (3R)

Dialog Perundangan 3R tangani isu provokasi agama, bangsa & Institusi Raja-Raja (3R)

Read Time:2 Minute, 56 Second

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan mengambil maklum peningkatan jumlah kes provokasi agama, bangsa dan Institusi Raja-Raja (3R) baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman berkata, satu sesi libat urus yang terdiri daripada Perbincangan Kumpulan Fokus (‘Focus Group Discussion’) dan juga Dialog Perundangan 3R (‘3R Legal Dialogue’) Mengenai Isu Provokasi Melibatkan Agama, Bangsa dan Institusi Raja-Raja (3R) di Malaysia telah diadakan di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Kuala Lumpur pada Jumaat (21 Julai).

Katanya, walaupun terdapat undang-undang yang sedia bagi menangani isu tersebut termasuk Akta Hasutan 1948 [Akta 15], Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta.301], Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] dan Kanun Keseksaan [Akta 574], harus diambil kira bahawa antara undang-undang ini, ada yang telah digubal tujuh dekad yang lalu.

“Oleh itu, Kerajaan berhasrat untuk mengkaji semula kerelevanan undang-undang yang sedia ada untuk memastikan perundangan selaras dengan perkembangan semasa.

Selain itu, Kerajaan turut peka terhadap cabaran yang dihadapi oleh pelbagai pihak penguatkuasa dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Azalina, cabaran yang dihadapi oleh agensi-agensi penguatkuasaan, seperti Polis Diraja
Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia antara lain, adalah penyebaran maklumat yang pantas melalui penggunaan teknologi yang canggih, akaun dalam talian palsu/digodam (fake/hacked accounts), kerahsiaan nama yang tidak dapat dikesan (anonymity) serta teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI) yang menyukarkan proses siasatan dan pendakwaan.

Mengulas lanjut sesi libat urus ini diadakan, Azalina berkata, ia bagi mengkaji keberkesanan perundangan sedia ada, serta cabaran-cabaran terkini yang dihadapi oleh agensi penguatkuasa dan juga untuk menerokai model perundangan alternatif dalam menangani isu ini dengan mengambilkira piawaian serta amalan terbaik di peringkat antarabangsa seperti Prinsip
Camden (Camden Principles), Pelan Tindakan Rabat (Rabat Plan of Action) dan Strategi dan Pelan Tindakan PBB Mengenai Ucapan Kebencian (UNSPAHS).

Sesi libat urus berkenaan telah dihadiri oleh lebih lima puluh wakil daripada pihak kerajaan dan
bukan kerajaan, termasuk Kementerian Perpaduan dan Kementerian dalam Negeri,
Polis DiRaja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Badan-Badan Peguam, Pertubuhan Masyarakat Madani (CSO), Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), ahli-ahli akademik dan organisasi-organisasi agama.

Tiga persoalan utama yang dikemukakan kepada peserta-peserta sesi libat urus untuk tujuan perbincangan adalah sama ada Malaysia memerlukan:

i. Pemansuhan Perundangan Sedia Ada dan Penggubalan Akta Baharu
mempertimbangkan sama ada untuk memansuhkan perundangan seperti Akta Hasutan 1948 [Akta 15] dengan digantikan dengan undang-undang baharu bagi kesalahan yang lebih spesifik. Selain itu Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan satu Perundangan baharu yang berbentuk jenayah atau quasi jenayah/ sivil.

ii. Pindaan Perundangan
iaitu membuat pindaan kepada perundangan yang sedia ada bagi memastikan isu provokasi 3R dapat ditangani secara holistik; atau

iii. Tiada Pindaan Perundangan (status quo) iaitu tiada perubahan perundangan diperlukan di mana usaha menangani isu provokasi 3R diteruskan melalui pendekatan yang lain.

Azalina berkata, kerajaan akan terus melibatkan semua pihak berkepentingan dalam mempertimbangkan hala tuju dasar dan perundangan yang holistik untuk dijadikan panduan kepada Kerajaan Perpaduan dalam menangani isu provokasi melibatkan 3R dan pada masa yang sama menggalakkan toleransi, keharmonian dan perpaduan.

“Di samping itu, hasil dari Perbincangan Kumpulan Fokus dan Dialog Perundangan 3R akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Kerajaan Perpaduan menyokong hak kebebasan bersuara sebagai hak rakyat Malaysia seperti mana yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, selaras dengan Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of Human Rights) [UDHR] pada masa yang sama mengambil kira bahawa hak kebebasan bersuara haruslah dimanfaatkan secara bertanggungjawab,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

UWSS Kasigui dijangka bantu tingkat pengeluaran bekalan air di Putatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular