HomeUtamaJPSM mampu lahirkan tenaga kerja kompeten, berdaya tahan di Sabah

JPSM mampu lahirkan tenaga kerja kompeten, berdaya tahan di Sabah

Read Time:1 Minute, 48 Second

Kota Kinabalu : Sabah berupaya menyediakan tenaga kerja yang kompeten dan berdaya tahan menerusi inisiatif penubuhan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) selain dapat membantu membangunkan modal insan di negeri ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sehingga tahun lalu JPSM telah berjaya melaksanakan sebanyak 149 kursus kemahiran dan keusahawanan manakala pada suku ke dua tahun ini juga telah berjaya menganjurkan kursus sebanyak 101 kursus di bawah Bahagian Tajaan Latihan Kemahiran.  

Beliau percaya bilangan kursus itu akan bertambah khususnya melibatkan kursus-kursus yang berimpak tinggi sehingga akhir tahun ini.

“Saya juga dimaklumkan, seramai 191 orang pelatih telah berjaya menjalani dan menamatkan latihan teknikal dan perdagangan di Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) pada tahun lalu dan 142 orang pada Jun 2023 yang secara langsung turut menyumbang kepada penyediaan tenaga kerja yang kompeten dan berdaya tahan.

“Saya juga ingin ucapkan syabas kepada JPSM kerana sentiasa berusaha untuk mengurangkan kadar pengangguran dan membasmi kemiskinan di negeri Sabah.

“Pada tahun lalu, JPSM sentiasa mendapat kerjasama berterusan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dimana telah berjaya melaksanakan sebanyak tiga siri karnival kerjaya perdana, tujuh siri karnival kerjaya dan pekerjaan serta mini karnival kerjaya. Seramai 1,390 pencari kerja telah mendapat pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun JPSM ke-35 di di sini hari ini.

Arifin berkata, kejayaan jabatan itu sudah pasti terhasil daripada kerjasama dan komitmen padu barisan kepimpinan dan semua peringkat warga kerja JPSM.

“Suka saya menekankan bahawa bekerjasama antara satu sama lain amatlah penting kerana ini secara tidak langsung akan membantu meningkatkan motivasi dan keyakinan diri setiap personel. 

“Sikap bekerja secara sendirian ataupun silo dan memilih anggota kumpulan tertentu haruslah kita elakkan kerana cara bekerja ini akan membuatkan ada personel merasa khidmatnya tidak diperlukan atau tidak dihargai. Cara bekerja sebegini juga boleh mengakibatkan “burn out” kerana melakukan tugas dan menanggung bebanan kerja sendirian. 

“Faktor terpenting yang akan menjayakan hasrat ini tidak lain dan tidak bukan, adalah pada diri warga JPSM itu sendiri.  Tumpuan dan komitmen kerja 100 peratus malah ada yang memberikan lebih daripada itu, faktor inilah yang menyumbang kepada setiap kejayaan pencapaian visi dan misi jabatan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

2 Anggota Polis Ulu Tiram Terbunuh, Penyerang Ditembak Mati

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular