HomeIsu tempatanLawatan beri pendedahan kepada adat daerah lain - Jahid

Lawatan beri pendedahan kepada adat daerah lain – Jahid

Read Time:1 Minute, 42 Second

Tamparuli: Program Lawatan Sambil Belajar merupakan peluang bagi memperkembangkan lagi kemahiran berfikir melalui pengalaman semasa berada di daerah lain.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, selain dapat memberi pendedahan tentang pelbagai fakta menarik mengenai sesuatu daerah lain yang dilawati, program seumpama itu juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan ahli rombongan.

“Saya yakin penganjuran Lawatan Sambil Belajar ini dapat memberi pendedahan dan pengalaman pembelajaran kepada para pemimpin adat terhadap setiap aspek yang terdapat di daerah yang dilawati nanti,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis singkat bersama rombongan Mahkamah Anak Negeri (MAN) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli di sini hari ini.

Turut hadir Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak.

Katanya, setiap pengetahuan yang diperolehi dari hasil lawatan itu biasanya akan bertahan dengan lebih kekal lama kerana mereka menggunakan pelbagai deria untuk mendapatkan maklumat.

“Saya percaya sesungguhnya pengalaman yang bakal dilalui semasa lawatan sambil belajar ini nanti tidak akan dapat dijual beli dengan wang ringgit nilainya,” kata Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli.

Justeru, beliau menasihati para pemegang adat yang hadir agar sentiasa menjaga akhlak dan keperibadian mereka ketika berada di daerah lain.

“Biarlah lawatan ini nanti menjadi satu perjalanan yang menarik dan bermanfaat.

“Jaga diri, jaga tata tertib, dan jaga nama baik Tamparuli, semoga mendapat satu pengalaman, dan pelajaran yang baik untuk dimanfaatkan dan diaplikasikan di kawasan kampung masing-masing.

“Bersukan persahabatan pun biarlah main dalam keadaan ala kadar, jaga kesihatan apatah lagi dalam cuaca tidak menentu sekarang, dan jangan ada perselisihan faham di antara kalian semua,” katanya.

Terdahulu, ketua rombongan, KAN Selvis Gambar, berkata, seramai 26 pemegang adat terdiri daripada Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), dan Ketua Kampung menyertai rombongan itu yang bakal melawat Keningau dan Tenom, bermula hari ini (25 Julai) hingga 27 Julai 2023 nanti.

“Terima atas tidak terhingga atas sumbangan Datuk yang telah menaja hampir keseluruhan perjalanan kami,”.

“Sepatutnya seramai 39 orang semuanya, tetapi disebabkan masing-masing mempunyai masalah yang tidak dapat dielakkan, maka rombongan kali ini hanya disertai 26 orang ahli,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS, Yun Fook Resources laksana penyelidikan nutrisi murid sekolah di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular