HomeUtamaAsrama PKS perkasa belia luar bandar

Asrama PKS perkasa belia luar bandar

Read Time:2 Minute, 28 Second

Keningau  :    Asrama Pusat Kraftangan Sabah (PKS) yang siap dibina berupaya memperkasa golongan belia khususnya luar bandar menerusi industri kraf tangan. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan berkata, usaha Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) itu turut menyokong inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk mencapai objektifnya dalam pembangunan modal insan.

“Dengan terbinanya asrama ini, saya percaya lebih ramai masyarakat luar bandar yang akan menerima manfaat daripada penganjuran pelbagai program kraf tangan di tempat ini. 

“Kumpulan sasar daripada segenap pelusuk negeri ini bolehlah datang ke Keningau untuk mengikuti program-program seni kraf tangan yang dianjur oleh PKS.

“Saya percaya, ini adalah salah satu daripada usaha Kumpulan Yayasan Sabah dalam menyokong inisiatif kerajaan dalam memperkasa belia dan beliawanis di Sabah menerusi industri kraf tangan. 

“Hal ini secara tidak langsung juga menyokong inisiatif Sabah Maju Jaya dalam mencapai objektifnya dalam pembangunan modal insan,”katanya.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata, inisiatif kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bersama agensi-agensi yang terbabit bukan sahaja dapat membantu menangani masalah ketiadaan tempat penginapan, malah meningkatkan keselesaan kumpulan sasar dalam proses menimba kemahiran seni kraf tangan. 

Beliau turut berbangga dengan usaha Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) dalam memastikan bekalan bahan mentah buluh dan rotan sentiasa mencukupi untuk menampung keperluan industri yang berkaitan seperti kraf tangan dan pembuatan.

“Saya pasti tidak ramai yang sedar tentang potensi pembangunan industri buluh khususnya di Sabah.

“Selain industri kraf tangan, terdapat pelbagai industri lain yang menggunakan buluh sebagai bahan utama dalam industri hiliran seperti penghasilan papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan dan arang buluh.

“Sekiranya industri buluh ini dibangunkan dengan terancang melalui usaha-usaha seperti penyelidikan dan pembangunan, saya yakin industri ini mampu berkembang dan menjadi nilai tambah dalam industri perkayuan seterusnya memangkin ekonomi masyarakat setempat,”katanya.

Ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Asrama PKS di sini, hari ini, beliau yang kuga Ahli Parlimen Keningau amat berbesar hati dan merakamkan penghargaan kepada kerajaan persekutuan atas pembiayaan dia blok bangunan asrama tiga tingkat yang berkapasiti 200 orang. 

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan asrama yang menelan kos RM17.67 juta itu dibiaya oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM).

“Saya difahamkan pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri telah pun menyalurkan dana kepada Kumpulan Yayasan Sabah sejak tahun 2011 sehingga kini. 

“Dana yang disalurkan sepanjang tempoh lebih sedekad ini membolehkan Kumpulan Yayasan Sabah terus mengorak langkah dalam pembangunan modal insan di  Sabah, seterusnya mengangkat industri kraf tangan tempatan membantu memangkin ekonomi masyarakat di negeri ini.

“Terima kasih kepada Jabatan Kerja Raya Sabah selaku Superintendent Officer atau pegawai penguasa yang menyelia projek serta Pembangunan Eco-Bumi Sdn. Bhd., kontraktor yang telah berusaha keras menjayakan pembinaan asrama ini,” katanya.

Pada majlis itu, Jeffrey menyaksikan penyerahan replika kunci asrama berkenaan kepada Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar oleh Ketua Pengarah ICU JPM, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

RELATED ARTICLES
Utama

Majlis Perniagaan AS-ASEAN bincang peluang perniagaan di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular