HomeUtamaSeorang jemaah haji Sabah meninggal dunia di Tanah Suci

Seorang jemaah haji Sabah meninggal dunia di Tanah Suci

Read Time:1 Minute, 27 Second

Kota Kinabalu : Hanya seorang jemaah haji dari negeri ini dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci ketika menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, jemaah lelaki warga emas berusia 75 tahun yang berasal dari Kudat itu meninggal dunia disebabkan masalah kesihatan.

“Saya difahamkan ada seorang jemaah lelaki berusia 75 tahun dari kawasan Pantai Barat Utara iaitu Kudat meninggal dunia ketika menunaikan haji. Proses pengurusan jenazah jemaah berkenaan di Tanah Suci yang dikendalikan pihak Tabung Haji (TH) berjalan dengan lancar.

“Saya juga difahamkan pihak TH Sabah ada datang ke kampung arwah untuk menziarahi keluarganya dan ikut sama bertahlil dan berdoa untuk arwah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut kepulangan kumpulan pertama dan kedua jemaah haji Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, malam tadi.

Hadir sama menyambut ketibaan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam dan Pengarah Wilayah TH Sabah dan Sarawak Datin Nurlaila Said.

Seramai 274 jemaah daripada 1,079 jemaah haji Sabah itu tiba semalam di KKIA menerusi dua penerbangan masing-masing pada jam 7.30 malam dan 8.10 malam tadi.

Hari ini dua lagi penerbangan dijangka akan tiba pada jam 6.10 petang dan 9.10 malam nanti di KKIA, manakala dua penerbangan lain dijadualkan tiba pada 30 Julai ini pada jam 5.15 pagi dan 7.30 petang.

Dalam pada itu, Arifin berkata, pihaknya berharap agar kouta jemaah haji dari negeri ini akan dapat ditambah pada tahun hadapan.

“Saya harap pada tahun depan akan bertambahlah kouta haji untuk Sabah.  Saya mohon kepada TH agar dapat memperjuangkan kouta untuk rakyat Sabah.

“Tapi alhamdulillah pada tahun ini sudah bertambah, biasa hanya dua penerbangan dan kali ini enam penerbangan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular