HomeUtamaKPDN Sabah rampas barang tiruan bernilai RM145,634.50

KPDN Sabah rampas barang tiruan bernilai RM145,634.50

Read Time:2 Minute, 17 Second

Kota Kinabalu : Gajet jenama VIVO dan perkakas gergaji rantai jenama STIHL menjadi antara barang tiruan bernilai RM145,634.50 yang dirampas dalam dua operasi berasingan yang dilaksanakan sekitar daerah Kota Marudu dan Kota Kinabalu.

Semua barangan yang dirampas dalam operasi selama dua hari berakhir semalam itu telah disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan ianya telah dilaksanakan bersama pemilik cap dagang barangan berkenaan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah Georgie Abas berkata, operasi pertama pada Rabu lalu telah dilaksanakan di sekitar Kota Marudu oleh sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Sabah bersama seorang wakil pemilik cap dagang berdaftar jenama STIHL.

Katanya, operasi di daerah itu telah dijalankan di dua buah premis perniagaan perkakasan gergaji rantai di lokasi yang berbeza dan telah menemui seterusnya menyita dua unit gergaji rantai; 41 unit mata gergaji; 22 unit bilah gergaji dan 62 unit ‘Spark Plug’ yang disyaki tiruan dengan nilai sitaan sebanyak RM8,471.

“Dalam operasi kedua yang dijalankan sekitar ibu negeri semalam, tiga pasukan pegawai penguat kuasa KPDN Sabah bersama dua wakil pemilik cap dagang gajet jenama VIVO telah menyerbu tiga buah premis perniagaan gajet berbeza di daerah berkenaan.

“Hasil serbuan di ketiga-tiga premis tersebut telah menghasilkan penemuaan dan penyitaan sebanyak 818 unit telefon pintar jenama Vivo pelbagai model, 253 unit USB Data Cable jenama Vivo, dan 104 unit Travel Charger Quick Charge jenama Vivo yang disyaki tiruan dengan nilai sitaan sebanyak RM137,163.50,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Georgie berkata, nilai rampasan keseluruhan bagi kedua-dua operasi ini adalah berjumlah sebanyak RM145,634.50 dan tindakan kes diambil di bawah Akta Cap Dagang 2019.

Katanya, kelima-lima pemilik premis perniagaan berkenaan adalah disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan kes ini akan disiasat mengikut seksyen 102(1),(b)&(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan.

“Kementerian ini akan terus menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Cap Dagangan 2019 bagi membanteras penjualan barangan tiruan dan aktiviti cetak rompak di pasaran. Para peniaga adalah diingatkan agar lebih bertanggungjawab serta menghormati harta intelek orang lain di samping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan,” katanya.

Beliau turut menasihati pengguna supaya tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya. 

“KPDN sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan berkaitan salah laku peniaga. Pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi saluran-saluran aduan yang disediakan,” katanya. – SABAH MEDIA.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular