HomeUtamaKPR Seberang Perak dan KPF raih Anugerah Hari Koperasi Negara 2023

KPR Seberang Perak dan KPF raih Anugerah Hari Koperasi Negara 2023

Read Time:2 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Koperasi Peserta-Peserta Rancangan FELCRA Seberang Perak Berhad (KPR Seberang Perak) dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Hari Koperasi Negara 2023 bagi kategori Koperasi Terbaik Sektor Pertanian dan Industri Asas Tani manakala Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) pula memenangi bagi kategori Sektor Perladangan.

Jumlah perolehan KPR Seberang Perak dan KPF pula telah mencatatkan sebanyak RM470,249,000 sehingga Disember 2022.

Penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersempena Majlis Penutupan Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK’23) di sini hari ini (30 Julai).

Pada majlis itu turut disampaikan enam lagi anugerah iaitu Koperasi Terbaik Sektor Hartanah dan Industri Pembinaan yang dimenangi Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad (KTMSAB), Koperasi Terbaik Sektor Pemborongan dan Peruncitan pula dimenangi Petronas Berhad (KOPETRO) manakala bagi Koperasi Terbaik Sektor Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan. dianugerahkan kepada Koperasi Guru-Guru Melayu Kedah Berhad (KGMKB).

Bagi Koperasi Terbaik Sektor Kewangan telah dimenangi oleh Koperasi Koswip Malaysia Berhad (KOSWIP) manakala untuk kategori Koperasi Harapan dianugerahkan kepada Koperasi Penanam Sawit Mampan Daerah Keningau Sabah Berhad (KPSM Keningau) dan anugerah Koperasi Khidmat Masyarakat dimenangi oleh Koperasi Al-Bait Sarawak Berhad (Al-Bait).

Setiap anugerah membawa pulang sijil, plak dan wang tunai RM15,000.00.

Majlis yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan, dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) ini merupakan rangkuman kepada BKK 23, Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi (MAGK’23) dan Hari Koperasi Negara (HKN’23).

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam ucapan perasmiannya berkata, Negara perlu mengambil contoh gabungan koperasi pertanian di Korea iaitu Federasi Koperasi Pertanian Kebangsaan (NACF) yang menjadi organisasi puncak bagi 1,118 koperasi dengan gabungan keahlian seramai 2.1 juta petani.

“Petani ini merupakan pengguna dan pengawal koperasi mereka. Federasi tersebut menyokong koperasi anggota dengan menyediakan sistem koperasi untuk petani Korea yang majoritinya mengalami masalah kapasiti pengeluaran yang lemah dan sumber kewangan yang tidak mencukupi. Federasi tersebut telah berjaya memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi Korea dan berkembang menjadi salah satu koperasi paling berjaya di dunia”, katanya.

“Kerajaan yakin sekiranya gerakan koperasi di negara ini terus diperkasa menerusi inisiatif gabungan federasi terutama bagi sektor makanan dan pertanian, jaminan keselamatan makanan negara akan dapat diperkukuhkan seterusnya mengimbangi kos harga makanan yang semakin meningkat.

“Ini selari dengan elemen kemampanan dan kesejahteraan Malaysia MADANI sekali gus memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Majlis turut dihadiri Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick, Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad dan Pengerusi Eksekutif SKM, Rusli Jaafar serta wakil-wakil agensi.

RELATED ARTICLES
Utama

Angin kencang landa Semporna, 35 rumah dan 20 kenderaan terjejas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular