HomeUtamaSabah akan terus jadi negeri pengeksport utama hasil perikanan

Sabah akan terus jadi negeri pengeksport utama hasil perikanan

Read Time:1 Minute, 54 Second

Kota Kinabalu : Sabah akan terus menjadi negeri pengeksport utama hasil perikanan di negara ini selain menyumbang kepada Imbangan Dagangan yang positif sekitar RM495.4 juta pada tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berkata, sektor perikanan juga turut menyumbang sebanyak 15.6 peratus  pada tahun lalu atau RM1.95 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) di bawah sektor pertanian pada tahun lalu.

Katanya, pengeluaran kasar ikan di Sabah pada tahun lalu adalah berjumlah 550,829.78 tan metrik iaitu meningkat sebanyak 35.74 peratus berbanding tahun 2021 sebanyak 405,801.31 tan metrik.

“Nilai borong bagi pengeluaran kasar ikan turut menunjukkan peningkatan sebanyak 26.84 peratus iaitu dari RM 1,607.86 juta pada tahun 2021 kepada RM2,039.38 juta pada tahun 2022.

“Rumpai laut telah menghasilkan sebanyak 307,942.85 tan metrik basah dengan nilai RM 230.96 juta dan merupakan komoditi penyumbang terbesar pengeluaran hasil sektor perikanan. Sabah merupakan satu satunya negeri di Malaysia yang menjadi pengeluar Rumpai Laut untuk spesies Eukeumatoid (Rumpai Laut Merah).

“Rumpai Laut di Sabah menyumbang sebanyak 56 peratus daripada hasil akuakultur nasional. Kawasan Pantai Timur Negeri Sabah merupakan penyumbang utama pengeluaran rumpai laut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Jabatan Perikanan Sabah dengan Universiti Malaya di sini baru-baru ini.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata, daerah Semporna menyumbang 89.9 peratus, Tawau menyumbang 7.8 peratus dan selebihnya adalah daripada Kunak, Lahad Datu, Tuaran dan Sandakan dalam pengeluaran Rumpai Laut.

Katanya, sektor ini telah memberikan peluang pekerjaan kepada lebih daripada 1,554 orang pengkultur rumpai dan sejumlah 4,464 hektar kawasan pengkulturan rumpai laut telah dibangunkan.

“Rumpai laut telah lama dikenali sebagai sumber daya penting dalam sektor perikanan. Rumpai laut banyak digunakan sebagai sumber makanan dan minuman, farmasutikel, kosmetik, biofilem, bioplastik dan sebagainya.

“Sesetengah spesies rumpai laut yang ditanam mempunyai nilai komersil polisakarida seperti agar, alginate dan karaginan. Namun, penyelidikan dan pengkajian yang lebih mendalam mengenai rumpai laut masih perlu ditingkatkan untuk memahami potensi sepenuhnya dan memaksimumkan penggunaannya.

“Justeru, inisiatif kerjasama ini amatlah relevan dan signifikan untuk menggalakkan penyelidikan dalam keseluruhan rantaian nilai pengeluaran Rumpai Laut dan seterusnya pembangunan serta peluasan pengetahuan mengenai Rumpai Laut di negeri Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

2 Anggota Polis Ulu Tiram Terbunuh, Penyerang Ditembak Mati

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular