HomeUtama40 pelajar cemerlang SPM bakal terima ABCNS esok

40 pelajar cemerlang SPM bakal terima ABCNS esok

Read Time:1 Minute, 33 Second

Kota Kinabalu : Seramai 40 pelajar cemerlang dalam bidang pendidikan akan menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) iaitu pengiktirafan tertinggi dalam pendidikan di negeri ini.

Anugerah ABCNS bagi siri ke-34 itu akan disampaikan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah Datuk Seri Hajiji Noor esok di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha di sini.

Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar berkata, ABCNS merupakan anugerah berprestij yang diberikan oleh Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) kepada para pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, ABCNS juga adalah penggerak kepada para pelajar untuk mencapai kejayaan akademik yang lebih tinggi.

“KYS menggesa para pelajar untuk mengambil peluang agar belajar dengan tekun dan cemerlang dalam pendidikan bagi mendapatkan penempatan pekerjaan di pasaran.

“Kepada semua penerima, gunakanlah peluang yang diberikan dengan sebaik-baiknya. Para pelajar yang terlibat merupakan insan-insan yang terpilih dalam kalangan ribuan pelajar di negeri ini. 

“Saya berharap mereka akan terus bekerja keras untuk berkembang menjadi individu yang serba lengkap yang mampu memenuhi keperluan pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Gulamhaidar berkata, pihaknya percaya bahawa anugerah tersebut akan menjadi pendorong untuk melahirkan bukan sahaja pelajar cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga individu bertanggungjawab yang menyumbang secara positif kepada masyarakat.

Pada masa ini seramai 484 orang penerima ABCNS telah menamatkan pengajian mereka, manakala 213 lagi masih belajar.

“Pada tahun ini, seramai 40 orang pelajar lagi akan menerima anugerah ini. Para penerima ABCNS tersebut akan mengikuti pelbagai kursus dan bidang pengajian selaras dengan prospek kerjaya peribadi dan ekonomi berasaskan pengetahuan,” katanya.

Sejak penubuhannya hampir 60 tahun lalu, KYS telah merealisasikan misinya dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia di Sabah. 

Sejak itu, KYS telah bergerak ke hadapan dan kekal teguh selain menokok tambah usaha-usaha Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam membangunkan negeri ini, khususnya dalam aspek pendidikan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

MetMalaysia keluar amaran hujan berterusan tahap waspada di Sabah, Labuan hari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular