KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) menyambut baik cadangan dan keputusan Kerajaan Negeri untuk mewujudkan semula Lembaga Padi Sabah (LPS) bagi membangunkan industri padi dan beras negeri ini.
Pengerusinya Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, PPNS menyokong cadangan itu kerana ianya akan memberi faedah dan manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah.
Katanya, sudah tiba masanya Sabah mempunyai Lembaga Padi sendiri seperti yang pernah diwujudkan semasa kerajaan negeri terdahulu bagi mengurus industri padi negeri ini.
“Kita cukup yakin dengan adanya Lembaga Padi Sabah dapat membantu Sabah mencapai sasaran paras tahap sari diri (SSL) beras sehingga 60 peratus menjelang tahun 2030 seperti yang diunjurkan oleh Kerajaan Negeri berbanding hanya pada tahap 22 peratus setakat ini.
“Dengan meningkatnya SSL beras Sabah, akan membantu mengurangkan jumlah import beras dari negara asing seperti Vietnam, Thailand, Pakistan dan lain-lain.
“Ini sekaligus dapat mengurangkan aliran keluar mata wang Malaysia, yang akan menguntungkan negeri dan negara”, katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penutupan Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPNS) di bangunan Wisma Pertanian Sabah pada Ahad.
Mohd Nazri mengulas kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Khamis bahawa Kerajaan Sabah melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri (MAFFI) kini dalam proses mewujudkan semula Lembaga Padi Sabah.
Katanya, langkah itu dijangka dapat meningkatkan paras SSL beras Sabah kepada 60 peratus menjelang 2030. Ketika ini, SSL beras Sabah berada pada paras 22 peratus manakala 78 peratus keperluan beras negeri ini ditampung melalui beras import.
Mohd Nazri optimis dengan adanya Lembaga Padi Sabah, usaha dan fokus untuk pembinaan keupayaan industri padi tempatan untuk mengeluarkan produk beras Sabah dapat direalisasikan.
“Sabah perlu mempunyai keupayaan dalam mengeluarkan padi dan beras tempatan termasuk produk pertanian dan makanan lain untuk meningkatkan eksport barangan pertanian tempatan”, tegasnya.
Beliau juga memuji usaha Kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas kabinet bagi menangani isu SSL di negeri ini yang diketuai oleh MAFFI.
Mohd Nazri berkata, pengembelingan tenaga dan usaha melibatkan jabatan dan agensi negeri dan persekutuan serta sektor swasta akan membantu meningkatkan SSL pengeluaran semua jenis bahan makanan di negeri ini.
Menurutnya, ahli-ahli peladang di Sabah sedia memberikan.kerjasama, sokongan dan terlibat secara langsung membantu usaha kerajaan itu.
“Ramai ahli peladang mengusahakan penanaman padi terutama di kawasan Kota Belud, Kota Marudu, Papar, Keningau dan lain-lain. Mereka telah menyumbang secara signifikan dalam pengeluaran padi dan beras tempatan Sabah”, tegas Mohd Nazri.
Beliau juga berharap lebih ramai pelabur asing akan melabur dalam sektor pertanian, perikanan dan penternakan yang mempunyai potensi sangat besar untuk terus dibangunkan di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri, Datuk Seri Dr.Jeffrey G.Kitingan merasmikan penutupan sambutan HPPNS 2023.