HomeUtamaRakyat Sabah diseru kibar Jalur Gemilang dengan semangat patriotisme 

Rakyat Sabah diseru kibar Jalur Gemilang dengan semangat patriotisme 

Read Time:2 Minute, 12 Second

Kota Kinabalu: Rakyat Malaysia khususnya di negeri ini diseru untuk bersama mengibarkan Jalur Gemilang bagi menunjukkan semangat patriotisme seterusnya memeriahkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, rakyat perlu mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga terutamanya di rumah, bangunan pejabat kerajaan dan swasta, premis perniagaan, kenderaan masing-masing serta di mana sahaja tempat yang sesuai. 

“Sempena Bulan Kebangsaan dan Kempen Mengibar Jalur Gemilang tahun ini, saya mengajak seluruh lapisan rakyat untuk kita sama-sama membangkitkan semangat patriotisme dan mengukuh serta memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.  

“Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berasa bertuah menjadi sebahagian daripada rakyat negara yang berdaulat dan merdeka kerana kita dapat mengecapi kehidupan dalam suasana yang harmoni, aman serta sejahtera. Perpaduan adalah suatu nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kempen Mengibar Jalur Gemilang Peringkat  Negeri Sabah  2023 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam. 

Hadir sama Menteri Kewangan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 Datuk Seri Masidi Manjun. 

Hajiji berkata, perpaduan dan semangat antara rakyat perlu dibelai, dipupuk dan dipelihara dalam diri semua agar kemerdekaan Malaysia dapat dipertahankan sampai bila-bila.

Katanya, penerapan semangat patriotisme dalam setiap rakyat bukan sahaja menjadi ciri penting dalam pembinaan sebuah negara bangsa yang merdeka, tetapi juga mampu membina kerukunan jitu dalam kalangan rakyat bagi menghadapi cabaran besar yang mendatang. 

“Pelbagai program dan aktiviti telah dirangka sepanjang Bulan Kebangsaan ini, termasuklah  Kembara Merdeka Negaraku anjuran Jabatan Penerangan Sabah yang akan menjelajah ke seluruh negeri bagi menyemarakkan  lagi sambutan bulan kebangsaan.  

“Aktiviti lain yang dirancang antaranya Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA), Pertandingan Mencipta Video Pendek Kreatif Di Sabahfm, Doa Sayangi Malaysia, Ceramah Cinta Negara dan Program Semarak Gemilang,” katanya. 

Dalam pada itu, Hajiji berkata, sokongan padu dan kerjasama dari semua pihak termasuklah jabatan dan agensi kerajaan, sektor korporat, badan bukan kerajaan serta rakyat untuk merealisasikan pembangunan yang disusun dalam pelan pembangunyan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) adalah amat penting.

“Pelaksanaan pelbagai inisiatif berimpak tinggi di bawah Hala Tuju SMJ, yang memasuki tahun kedua pelaksanaannya mula membuahkan hasil. Sabah telah melakar pelbagai pencapaian membanggakan yang tercermin melalui peningkatan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat negeri ini dalam tempoh berkenaan.  

“Justeru, dalam konteks ini, hubungan erat, persefahaman, toleransi serta perpaduan rakyat di semua peringkat adalah sangat penting dalam menentukan kejayaan pembangunan di Sabah,” katanya.  – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

SMK Lok Yuk & SK Sembulan juara Seni Warisan Juara Limbai...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular