HomeIsu tempatanKg Kilimu Ranau dijadikan contoh pentadbiran dan pengurusan kampung terbaik - Faimin

Kg Kilimu Ranau dijadikan contoh pentadbiran dan pengurusan kampung terbaik – Faimin

Read Time:1 Minute, 44 Second

RANAU: Kampung Kilimu Ranau adalah kampung contoh yang boleh dijadikan sebagai penanda aras kepada pentadbiran dan pengurusan kampung terbaik oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), kata Pegawai Khas Kepada Menteri Kewangan Datuk Faimin Kamin.

Menurut Faimin, kampung berkenaan bukan sahaja cantik dan bersih, tetapi juga mempunyai landskap lokaliti yang menarik, tersusun dan teratur, sesuai dengan imej sebuah kampung yang pernah merangkul beberapa pencapaian terbaik di peringkat negeri dan kebangsaan.

“Antara pencapaian Kg Kilimu ialah Johan Anugerah Desa Sejahtera 1 Malaysia (ADS1M) Peringkat Negeri Tahun 2014, Anugerah Desa Harapan peringkat Kebangsaan tahun 2014, Anugerah Desa Lestari peringkat Kebangsaan Tahun 2015, Johan Anugerah kejiranan Hijau peringkat Kebangsaan Tahun 2019 dan Johan Pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera (PAKS) Peringkat Negeri Tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penyampaian watikah pelantikan kepada 47 Pengerusi JPKK baru Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan, bertempat di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat DUN Karanaan di sini pada Isnin (31 Julai).

Sehubungan dengan itu, Faimin berkata, dengan pencapaian sedemikian, pengurusan dan pentadbiran kampung berkenaan kini menikmati keistimewaan di mana pelbagai agensi dan kementerian berlumba-lumba untuk menawarkan bermacam bentuk bantuan tanpa perlu bersusah payah memohon sebagaimana kampung-kampung lain.

“Semua itu dapat dicapai kerana mereka ada kesungguhan dan model pengurusan dan pentadbiran kampung yang baik. Semua penduduk kampung berkenaan tahu peranan mereka dan mereka mempunyai rasa tanggungjawab terhadap kampung mereka.

“Ikon bagi sesebuah kampung ialah Ketua Kampung dan Pengerusi JPKK. Tanpa ada hubungan yang baik antara keduanya dengan penduduk kampung atau sesama Ketua Kampung dengan Pengerusi JPKK, pengurusan dan pentadbiran kampung yang baik pasti tidak akan dapat dicapai,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pengerusi JPKK harus tahu had tanggungjawab masing-masing semasa menjalankan tugas.

“Sebagai asas, Pengerusi JPKK seharusnya tahu had tanggungjawab masing-masing dan jangan sama sekali mencampuri urusan atau peranan Ketua Kampung. Begitu juga dengan Ketua Kampung, elakkan sama sekali untuk campurtangan dalam had tanggungjawab seorang Pengerusi JPKK,” jelasnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat Ranau, Rosdi Abdul Ghani, Pegawai Khas ADUN Karanaan Jupirin Ruhimin, Pegawai Pembangunan Masyarakat Karanaan, Suhaimi Manjun dan Penyelia Kemajuan Masyarakat Jardern Datuk Jirin.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

20 anak yatim Rumah Amal Kasih Kingfisher terima sumbangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya