HomeUtamaDUN Sabah : Sabah lulus RUU Perbekalan Tambahan 2023, beri tumpuan usaha...

DUN Sabah : Sabah lulus RUU Perbekalan Tambahan 2023, beri tumpuan usaha selesai isu air

Read Time:2 Minute, 26 Second

Kota Kinabalu : Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2023 atau belanjawan tambahan bagi tahun ini berjumlah lebih RM833 juta diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini petang tadi.

RUU Perbekalan Tambahan 2023 itu diluluskan selepas mendapat sokongan sebulat suara daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir dan diputuskan Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya.

Sebelum itu, seramai 11 ADUN mengambil bahagian dalam perbahasan yang bermula tengah hari tadi sehingga kira-kira jam 3 petang tadi.

Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peruntukan tambahan sebanyak RM833,019,462 itu adalah untuk beberapa perbelanjaan utama Kerajaan Negeri.

Katanya, semua anggaran tambahan itu adalah mustahak bagi melicinkan operasi pentadbiran Kerajaan Negeri, khususnya bagi tempoh suku keempat 2023 dengan tumpuan utama terhadap usaha menyelesaikan isu bekalan air.

“Masalah bekalan air yang sedang dialami hampir di seluruh negeri semakin kritikal dan memerlukan jalan penyelesaian dengan segera.  Justeru itu, anggaran perbekalan tambahan ini akan menumpukan kepada perbelanjaan operasi terutamanya untuk menangani isu air.

“Sejumlah RM139.09 juta atau 16.69 peratus diperuntukkan bagi tujuan itu dan selebihnya berjumlah RM138.54 juta atau 16.63 peratus untuk lain-lain perbelanjaan operasi,” katanya.

Katanya, perbelanjaan lain yang dibiayai menerusi peruntukan tambahan itu merangkumi Program Tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri sebanyak RM46 juta, penyelenggaraan saliran utama bandar dan pekan (RM19.78 juta) dan perkhidmatan pengangkutan logistik (RM16 juta).

Selain itu, Masidi berkata, peruntukan itu turut membiayai pembelian kenderaan dan jentera di pelbagai kementerian dan jabatan (RM10 juta), penyelenggaraan landasan keretapi (RM3.89 juta), penyelenggaraan sistem pembetungan (RM1.6 juta) dan selebihnya untuk perbelanjaan operasi kementerian serta jabatan lain (RM41.27 juta).

“Bagi pecahan agihan peruntukan tambahan mengikut kementerian dan jabatan, menyaksikan Kementerian Kewangan negeri menerima peruntukan sebanyak RM175 juta atau 21.01 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Jumlah itu sebagai tambahan kepada Kumpulan Wang Berkanun bagi mengurangkan defisit pembangunan serta caruman kepada Kumpulan Wang Amanah dan lain-lain keperluan berjumlah RM380.37 juta untuk membiayai belanja pentadbiran, bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK), elaun perjalanan dan sara hidup, bayaran Gantian Cuti Rehat (GCR), perbelanjaan utiliti dan sewa sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Maidi berkata, Anggaran Perbekalan Tambahan 2023 terbahagi kepada dua, iaitu yang tidak membabitkan aliran wang tunai sebanyak RM401,307,789 (48 peratus) yang diperlukan bagi pelarasan akaun dan mematuhi peraturan perakaunan, manakala sebanyak RM431,711,673 (52 peratus) membabitkan aliran wang tunai.

“Peruntukan tambahan terbesar yang membabitkan aliran wang tunai sebanyak RM272.88 juta disyorkan untuk menampung perbelanjaan di bawah Perkhidmatan Am Perbendaharaan meliputi pelbagai keperluan.

“Perkara terbabit ialah Peruntukan Khas sebanyak RM111.71 juta; sebanyak RM63 juta untuk Pelaburan Ekuiti, Pinjaman dan Pertukaran Kepada Geran untuk Badan Berkanun Negeri (RM50.17 juta) untuk membiayai perbelanjaan pentadbiran, bayaran Pemeriksaan Perubatan dan Insurans serta GCR,” katanya.

Katanya, sebanyak RM24.71 juta lagi untuk menaik taraf Stadium Likas dan RM23.29 juta untuk menampung keperluan lain seperti perkhidmatan pengangkutan dan logistik, bayaran pemeriksaan perubatan dan penyewaan kenderaan swasta. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Jentayu Sustainables Batalkan Pengambilalihan Aset Hidro di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular