HomeUtamaESSCOM terus pastikan keselamatan awam di ESSZone berada pada tahap yang optimum 

ESSCOM terus pastikan keselamatan awam di ESSZone berada pada tahap yang optimum 

Read Time:2 Minute, 26 Second

Tawau : Seramai 11 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia berjaya ditahan dalam satu Operasi Bersepadu (OB) yang dilaksanakan selama dua hari di sekitar kawasan perairan Pulau Sebatik dan Jeti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama di sini baru-baru ini.

Semua PATI yang ditahan itu didapati masuk ke negara ini  tanpa memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Tawau atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.

Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Deputi Komisioner Victor Sanjos berkata, operasi yang dilaksanakan bermula Khamis lalu itu adalah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, operasi itu juga adalah bagi memastikan pemeliharaan keselamatan awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) pada tahap yang optimum dan terjamin. 

Menurutnya, operasi itu juga bertujuan membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai serta mengekang penyusupan.

“Selain itu, operasi ini juga dilaksanakan bagi menguatkuasakan undang-undang terhadap kesalahan-kesalahan lain khususnya di pintu keluar masuk utama warga asing serta penduduk setempat yang menetap sekitar kawasan sempadan antara Malaysia dan Indonesia di Pulau Sebatik, Tawau.

“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 68 buah pelbagai jenis pengangkutan laut atau bot telah diperiksa serta seramai 1,887 orang individu di sekitar kawasan perairan Pulau Sebatik dan Jeti CIQ Lama Tawau turut diperiksa oleh pihak berkuasa.

“Daripada jumlah itu, seramai 11 orang PATI warganegara Indonesia telah ditangkap dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Tawau atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini,

Victor berkata, selain itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan seramai sembilan orang individu dan kesemuanya dibawa ke IPD Tawau untuk saringan ujian air kencing di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, daripada tahanan tersebut, seramai dua) orang didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan ditahan untuk siasatan lanjut oleh BSJND, IPD Tawau. 

“Selaras dengan kejayaan Operasi Bersepadu Tawau ini, pihak ESSCOM ingin menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan operasi ini.

“Kejayaan operasi ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan melalui Operasi Sanggah ESSCOM untuk memperkasakan operasi-operasi sedia ada di bawah PDRM, ATM dan Agensi Penguakuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di ESS Zone selaras dengan hasrat ESSCOM iaitu ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ bagi memastikan ancaman pencerobohan anasir asing dapat dikekang serta pemeliharaan keselamatan awam di pantai Timur Sabah kekal selamat dan terkawal,” katanya.

Victor berkata, ESSCOM juga akan terus mempergiat operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah di ESS Zone bagi mengekang mana-mana elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di pantai Timur Sabah.

Sehubungan itu katanya, masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089863 181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072.  – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

102 KIR terjejas banjir di Penampang terima sumbangan Perdana Menteri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular