HomePolitikUPKO terus konsisten perjuang MA63

UPKO terus konsisten perjuang MA63

Read Time:2 Minute, 18 Second

Papar: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) terus konsisten dalam memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick berkata, ini kerana ia adalah antara matlamat penubuhan parti itu dan perjuangan seluruh rakyat Sabah.

Katanya, ramai pihak tidak gembira kerana semangat Perjanjian Malaysia 1963 belum terlaksana seperti dihasratkan oleh Bapa-Bapa Kemerdekaan Sabah termasuk Presiden dan Timbalan Presiden UPKO yang pertama Tun Fuad Stephens dan G S Sundang.

“YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah memberi amanah besar kepada saya menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau dan saya menggunakan platform ini untuk menyuarakan aspirasi rakyat yang kita wakili seperti termaktub dalam Perlembagaan Parti UPKO terkait pelaksanaan MA63 dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Ulang Tahun UPKO Ke-29, di Dewan Masyarakat Kg.Biau Papar, di sini.

Turut hadir Penasihat Majlis Presiden UPKO Tan Sri Bernard Dompok, Timbalan Presiden UPKO Datuk Donald Peter Mojuntin, Ahli Parlimen Papar yang juga Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak Datuk Armizan Ali, Adun Limbahau Juil Nuantin dan para pemimpin tertinggi UPKO.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau bangga menjadi sebahagian daripada perbincangan Kabinet yang telah memperakukan beberapa pelaksanaan MA63 dan terus mengadakan perundingan-perundingan susulan bagi memuktamadkan perkara-perkara selebihnya.

“Antara yang telah diputuskan oleh Kerajaan Perpaduan Persekutuan ialah pengiktirafan Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran sebagai agensi pelaksana kerja-kerja kejuruteraan awam biayaan Kerajaan Persekutuan. 

“Kerajaan Persekutuan juga bersetuju meminda Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi membolehkan wakil Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak dilantik sebagai Ahli Lembaga dan seterusnya mempunyai akses kepada jenis-jenis hasil persekutuan dan jumlah pungutan hasil daripada Sabah.

“Saya juga telah mengisytihar kepada mesyuarat Kabinet tindakan perundangan yang telah saya ambil bersama Wakil-Wakil Rakyat Pakatan Harapan Sabah terkait Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia mengenai pemberian khas hasil persekutuan kepada Sabah,” katanya.

Ewon berkata, Perdana Menteri juga telah melantiknya menjadi Anggota Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri dan Ahli Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri. 

“Saya menggalas amanah dan tanggungjawab ini sebagai Anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan, sebagai Presiden Parti UPKO dan sebagai Wakil Rakyat dari Sabah. Saya mengambil bahagian dalam perundingan dan perbincangan sesuai dengan perjuangan selama ini.

“Antara warta baharu yang akan dikeluarkan tahun ini berkenaan pemberian khas kepada Sabah yang akan membatalkan warta tahun lepas yang kita cabar di mahkamah dan pindaan ke atas Akta LHDN yang mana pindaan susulan akan dibentangkan di Parlimen pada sesi hujung tahun ini,” katanya.

Ewon berkata, dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknika MA63, mereka juga turut bersetuju menetapkan tempoh masa satu tahun bagi memuktamadkan formula pemberian khas hasil persekutuan di Sabah kepada Kerajaan Negeri seperti termaktub dalam Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan. –SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

102 KIR terjejas banjir di Penampang terima sumbangan Perdana Menteri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular