HomeUtamaRM3.4 juta ganti rugi diberikan kepada pembeli rumah PR1MA Residensi Woodford

RM3.4 juta ganti rugi diberikan kepada pembeli rumah PR1MA Residensi Woodford

Read Time:2 Minute, 17 Second

Beaufort : Sebanyak RM3.4 juta Gantirugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) diberikan kepada 204 pembeli rumah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Residensi Woodford Estate Fasa 1 berikutan kelewatan penyiapan projek berkenaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pembeli juga dilindungi di bawah Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP) selama dua tahun seperti termaktub di dalam Perjanjian Jual Belia (SPA).

“Projek ini adalah antara projek PR1MA yang dikategorikan sebagai ‘sakit’ berikutan kegagalan pemaju menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan.  Projek bagi fasa satu ini membabitkan pembinaan 300 unit rumah teres berjaya disiapkan pada awal tahun ini dan menerima sijil menduduki (OC) pada 20 Februari lalu.

“PR1MA kemudian mengeluarkan notis Milikan Kosong (VP) kepada semua pembeli pada Mei lalu, disusuli proses penyerahan kunci dan sehingga kini seramai 219 pembeli sudah menerima kunci mereka, manakala sebanyak 30 unit kediaman sudah dihuni setakat 3 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Akmal berkata, penyelesaian projek ini adalah hasil kerjasama PR1MA dan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak berkepentingan lain.

Projek Residensi Woodford Estate Fasa 1 dilaksanakan kontraktor lantikan PR1MA, Gaya Belian Sdn Bhd sejak kira-kira lima tahun lalu membabitkan pembinaan 300 unit rumah teres dengan keluasan antara 1,084 hingga 1,134 kaki persegi serta dilengkapi dewan serbaguna, taska, tadika dan surau.

Sementara itu, Akmal berkata, bagi projek fasa dua, PR1MA akan menentukan semula pelaksanaannya dengan mengambil kira faktor keupayaan kontraktor baharu yang akan dilantik, kaedah pelantikan kontraktor secara tender terbuka dan mengutamakan kebajikan pembeli.

“Oleh itu, langkah-langkah yang akan diambil bagi memberi laluan terhadap penetapan hala tuju baharu adalah dengan memuktamadkan Perjanjian Penamatan Bersama dengan kontraktor asal, memajukan permohonan pembatalan lesen pemajuan projek dan menamatkan Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan 81 orang pembeli sedia ada,” katanya.

Menurutnya, usaha menyiapkan projek perumahan di bawah PR1MA diletakkan sebagai fokus utama agensi di bawah KPKT itu bagi memastikan pembeli dan rakyat keseluruhannya dapat memiliki rumah yang selesa.

“KPKT menerusi PR1MA tetap komited dalam memastikan rakyat mendapat rumah yang diidamkan secepat mungkin. Sasaran kita adalah bagi memastikan seramai mungkin rakyat memiliki rumah berkualiti dengan nilai yang berpatutan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff, berkata, selain Residensi Woodford Estate Fasa 1, PR1MA juga sudah menyiapkan lima lagi projek kediaman lain di Sabah.

Katanya, projek terbabit ialah Residensi Kota Marudu di Kota Marudu, Residensi Borneo Cove di Sandakan, Residensi Selatan Kinarut Fasa 1 dan Residensi Selatan Kinarut Fasa 2 di Kinarut, Papar dan Residensi Ranggu di Tawau.

Selain itu, katanya sebanyak tiga projek kediaman lain iaitu Residensi Woodford Estate Fasa 2 di Beaufort, Residensi Menggatal di Kota Kinabalu dan Residensi Elopura di Sandakan masih dalam proses pembinaan.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki hilang, disyaki dibaham buaya selepas bot karam di Sg Kg...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular