Kota Kinabalu : Sabah FC menepati ramalan apabila berjaya melangkah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia selepas berjaya mengatasi Kuching City FC dengan agregat 4-1 di Stadium Likas di sini malam ini.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 malam ini, namun Kuching City ketinggalan dengan agregat agak besar selepas tewas 3-0 dalam aksi pertama di Stadium Negeri, Kuching pada 5 Ogos lalu.
Sebaik babak pertama bermula, pemain import Sabah FC Ramon Machado hampir membuka jaringan awal selepas cuba menanduk masuk bola hantaran Jafry Chiew pada minit keempat namun percubaannya terus ke dakapan penjaga gol Kuching City FC, Shaiful Wazizi.
Sekali lagi Sabah hampir mendapat gol pertama menerusi percubaan Rizal Ghazali pada minit ke-11 bagaimanapun sepakannya terus kepada Shaiful.
Pasukan pelawat hampir memperoleh gol pertama menerusi percubaan Amir Amri Salleh pada minit ke-19 selepas berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat namun percubaannya tersasar ke tepi gawang tuan rumah.
Sabah akhirnya mendapat gol pertama menerusi jaringan Rizal Ghazali pada minit ke-27 selepas berjaya menolak masuk bola hantaran sepakan percuma Saddil Ramdani menjadikan tuan rumah mendahului 1-0.
Kedudukan tuan rumah mendahului perlawanan dengan 1-0 itu kekal sehingga permainan berhenti rehat, namun berubah pada babak kedua apabila pemain lawan, Rames Lai berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-57.
Sabah cuba mengubah kedudukan yang terikat 1-1 itu menerusi beberapa cubaan untuk menambah jaringan sepanjang baki masa perlawanan, namun tiada yang berhasil sehingga tamat masa perlawanan, termasuk lima minit masa tambahan.
Walaupun berakhir dengan keputusan seri, Sabah tetap memiliki kelebihan agregat 4-1 untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia.
Sabah akan akan bertemu Perak FC pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia. – SABAH MEDIA