HomeUtamaNGO, badan korporat bantu kerajaan wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Sabah

NGO, badan korporat bantu kerajaan wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Sabah

Read Time:2 Minute, 43 Second

BERNAMA

Kota Kinabalu : Badan korporat dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) perlu berganding bahu membantu kerajaan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada golongan belia dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran di Sabah.

Membuat saranan itu, Pengerusi Tetap Majlis Belia Sabah Mazlan Manan berkata antara kerjasama yang boleh dilakukan ialah mengadakan lebih banyak program bimbingan untuk meningkatkan kemahiran kepada anak-anak muda serta kursus keusahawanan yang bersesuaian dengan kehendak pasaran.

“Sabah memiliki banyak sumber bahan mentah selain alam semula jadi yang boleh diterokai sekali gus membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan mampu diwujudkan untuk membantu merungkai masalah pengangguran ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar pada Isnin lepas bahawa Sabah mencatatkan kadar pengangguran tertinggi iaitu 169,800 orang atau 29 peratus daripada 588,700 jumlah penganggur di seluruh negara.

Mazlan berkata isu pengangguran di Sabah bukanlah perkara baharu, malah ia sudah menjadi antara isu utama kepada golongan belia di negeri itu sehingga terpaksa berhijrah ke Semenanjung untuk mendapatkan pekerjaan akibat kekurangan peluang pekerjaan di Negeri di Bawah Bayu itu.

Katanya, antara faktor berlakunya situasi itu adalah apabila kadar pembangunan di Sabah tidak seimbang dengan negeri-negeri lain yang menjadikan peluang pekerjaan itu lebih terbuka di negeri lain terutamanya di Semenanjung.

“Pelaksanaan pembangunan infrastruktur dan ekonomi kerajaan Persekutuan sebelum ini juga lebih tertumpu di Semenanjung membuatkan persekitaran ekonomi dan peluang pekerjaan itu lebih terbuka di sana,” katanya dan menambah ketika ini, kerajaan negeri sedang berusaha menarik pelabur asing untuk datang ke Sabah.

Bagaimanapun katanya, dalam usaha mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak tempatan, masih terdapat kekangan untuk menarik pelabur asing ke Sabah akibat kemudahan infrastruktur seperti jaringan jalan raya, air dan bekalan elektrik yang tidak memuaskan.

Justeru, kerajaan Persekutuan dan negeri diharap memberi lebih tumpuan terhadap pembangunan infrastruktur dan membantu menarik pelabur untuk mencipta peluang pekerjaan dan perniagaan di Sabah, katanya.

Sementara itu, seorang pekerja swasta Loqman Said, 27, berkongsi pengalamannya yang pernah menganggur selama beberapa tahun selepas tamat pengajian dan memohon kerja di syarikat-syarikat tempatan, namun tidak berjaya sehingga akhirnya mendapat tawaran kerja di Semenanjung.

Beliau berkata jika dilihat menerusi laman web pasaran pekerjaan seperti JobStreet, tidak banyak syarikat tempatan di Sabah menawarkan pekerjaan berbanding syarikat di Semenanjung.

“Masalahnya bukan semua mahu bekerja di luar Sabah contohnya berhijrah ke Semenanjung kerana jauh daripada keluarga selain kos taraf hidup pun tinggi, jadi itu mungkin satu daripada punca kadar pengangguran tinggi di Sabah,” katanya.

Penghantar makanan Mohd Imaduddin Mohd Zaman, 24, berkata isu belia memilih pekerjaan bukan sebab utama kadar pengangguran yang tinggi di Sabah, sebaliknya kekurangan peluang pekerjaan untuk diisi penduduk di negeri ini.

“Saya berasal daripada keluarga kurang berada jadi tiada masalah kerja berat tetapi kerja tiada di sini, Semenanjung ada tetapi sukar ke sana kerana menjaga ibu bapa sudah tua. Inilah dilema selalu dihadapi anak muda Sabah, berpelajaran tetapi peluang itu kurang,” katanya.

Beliau berkata bergantung kepada tenaga kerja asing kerana kos rendah tanpa mengguna pakai tenaga kerja tempatan yang mempunyai kemahiran dan pendidikan lebih tinggi akan memberi kesan kepada usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup penduduk Sabah terutama mereka yang berstatus miskin.

Sementara itu, Sofea Ami, 29, antara yang bergelut untuk mencari pekerjaan sehingga akhirnya berniaga sendiri secara dalam talian pula berpendapat kebanyakan syarikat lebih banyak bergantung kepada tenaga kerja asing untuk mengurangkan kos menyebabkan peluang anak tempatan terhad. BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah kekal harmoni dengan keunikan kepelbagaian – Jeffrey

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular