HomeUtama30 pelajar KTYS terima sijil tamat kursus Program Khas Persediaan ke...

30 pelajar KTYS terima sijil tamat kursus Program Khas Persediaan ke Timur Tengah

Read Time:2 Minute, 38 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Seramai 30 pelajar Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) menyertai Program Khas Persediaan ke Timur Tengah menerima sijil tamat kursus, dirai dalam satu majlis penghargaan yang berlangsung di Dewan Madani, Wisma Muis, di sini, hari ini.

Majlis penyampaian sijil disempurnakan oleh Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, Datuk Harun Durabi.

Harun berkata, beliau mengucapkan syabas dan tahniah atas penganjuran Program Khas Persediaan ke Timur Tengah yang julung kali diadakan oleh KTYS dengan kerjasama Yayasan Sabah kepada pelajar-pelajar lepasan SPM, STPM dan STAM di negeri Sabah ini.

“Saya mewakili Kerajaan Negeri Sabah mengucapkan syabas dan tahniah kepada anak-anak yang terpilih dan berjaya, juga khususnya kepada KTYS dan Yayasan Sabah yang telah merancang program ini.

“Program ini adalah julung kali diadakan dan inshaa Allah program ini menjadi titik mula kita untuk meneruskan usaha-usaha akan datang ke arah persediaan dari Negeri Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif KTYS, Haji Samin Ongki.

Sementara itu, Pengerusi KTYS Datuk Tah Niah dalam ucapannya berkata, Program Khas Persediaan Ke Timur Tengah telah diilhamkan oleh Yayasan Sabah pada awal tahun ini pada April 2023, KTYS menyambut dengan baik seruan ini untuk memperkenalkan kepada anak-anak Sabah yang berminat untuk melanjutkan pengajian di Timur Tengah khususnya Jordan dan Mesir dalam bidang kursus yang ditawarkan iaitu Agama dan Bahasa Arab.

“Dalam program lima bulan ini pelajar-pelajar diajar Asas Bahasa Arab dalam penulisan dan komunikasi selain itu, memahami budaya, adat istiadat, dan nilai-nilai masyarakat di negara Timur Tengah.

“Program ini juga akan mengajar mereka menyesuaikan diri dengan keadaan dan cuaca pada musim sejuk yang bakal dihadapi sepanjang berada di negara Timur Tengah. Jadi kami telah membawa pelajar-pelajar ini ke Kundasang Ranau selama tiga hari dua malam bagi mendapat gambaran untuk menyesuaikan diri ketika menghadapi musim sejuk di sana,” katanya.

Seorang pelajar Ahmad Farhan Ansir, 20, dari Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu, yang bakal mengambil kursus Bahasa Arab di Jordan turut berkongsi keterujaannya menyertai Program Khas Persediaan ke Timur Tengah di KTYS.

Ahmad Farhan

“Terima kasih kepada pihak Yayasan Sabah dan KTYS, saya bangga dipilih dan diberi peluang menyertai program khas ini.

“Selama lima bulan menyertai program ini saya yakin dapat membantu dan memudahkan pembelajaran kami di Jordan nanti, inshaa Allah, program ini akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang,” katanya.

Manakala seorang pelajar Liyana Fathiyah Mohd Zulkani, 20, dari Sekolah Menengah Islamiah, Tawau, berkata, dia akan mengambil pengajian Kursus Bahasa Arab di Mesir, dia sangat gembira kerana dipilih untuk menyertai program khas tersebut.

Liyana

“Dalam program ini kami telah diajar dalam ‘bahasa pasar’ Bahasa Arab, kalau di sekolah dulu kami tidak diajar bahasa ini.

“Bila saya ikuti program di KTYS ini, saya dapat maklumat berkenaan bahasa pasar dan juga budaya Timur Tengah, saya sangat teruja dan saya rasa tidak cukup untuk lima bulan belajar bahasa pasar Arab ini, tapi saya sahut cabaran untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir.

“Cita-cita saya ingin menjadi pensyarah Bahasa Arab dan berbakti kepada penduduk Sabah,” katanya.

Pelajar-pelajar yang terpilih akan melanjutkan pengajian dalam bidang Agama dan Bahasa Arab di Mesir dan Jordan pada 22 September ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan Potong Berakhir Tragedi: Isteri Pemandu Maut di Lokasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular