HomeUtamaFelo SMJ 2.0 : Lepasan Diploma, STPM dan setaraf turut dilibatkan

Felo SMJ 2.0 : Lepasan Diploma, STPM dan setaraf turut dilibatkan

Read Time:2 Minute, 45 Second

Kota Kinabalu : Pelaksanaan program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 tahun ini lebih menarik apabila turut melibatkan lepasan diploma, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang setaraf dengannya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha itu secara langsung dapat membangun belia di negeri ini secara holistik.

Katanya, ia sekali gus mampu menyediakan belia sebagai sumber manusia yang kompeten, produktif dan  berkemampuan menjadi pelapis kepada kepimpinan negeri dan negara.

“Selain itu terdapat penambahan beberapa agensi dan institusi yang menjadi rakan strategik dalam pelaksanaan Felo SMJ 2.0 kali ini, termasuk sembilan buah syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) selain kementerian-kementerian sedia ada.

“Saya percaya, melalui penglibatan semua kementerian, beberapa agensi dan GLC terpilih akan mampu merealisasikan matlamat penganjuran Felo SMJ untuk menyediakan pelapis kepimpinan negeri Sabah suatu masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Felo SMJ 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin. 

Hadir sama Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) Abqaree Fawwaz Abekan.

Hajiji berkata, pihaknya juga optimis bahawa pelaksanaan Felo SMJ 2.0 akan menjadi pemangkin kepada belia-belia di negeri ini untuk bersaing secara sihat sekali gus membangunkan pencapaian kendiri mereka.  

Justeru beliau menyeru Kementerian Belia dan Sukan (KBS)  Sabah untuk memberikan penghakupayaan penuh kepada Majlis Belia Sabah (MBS) dalam melaksanakan program-program  Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS).

Katanya ia termasuklah program Felo SMJ dan yakin MBS mampu menjalankan program tersebut dengan baik dan teratur di bawah pemantauan kementerian. 

Tambahnya, Kerajaan Negeri amat prihatin, peka dan menyokong aktiviti berkaitan pembangunan belia, terutama yang memberi pendedahan dan membina potensi serta ketrampilan peribadi dalam diri anak muda.  

“Inisiatif Felo SMJ ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memperkasakan pembangunan modal insan di negeri ini. 

“Ia juga selari dengan teras kedua dalam Hala Tuju SMJ iaitu Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat. Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkasa modal insan agar sentiasa kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, pelbagai inisiatif telah dan akan dilaksanakan kerajaan untuk mencapai hasrat memperkasa modal insan negeri ini seperti penganjuran Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) di bawah seliaan Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri  Sabah.  

Katanya, MPPS merupakan program yang menghimpunkan pimpinan mahasiswa dan pelajar Sabah daripada Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan institusi pendidikan seluruh negara, sebagai medium untuk bertukar-tukar pandangan dan mengangkat aspirasi golongan muda negeri ini.  

“Kerajaan telah bersetuju melaksanakan Rumah Transit Belia SMJ yang  dicadangankan oleh MPPS dan mahu pelaksanaan program rintis rumah transit itu disegerakan bagi membantu golongan sasar yang memerlukan kediaman sementara, sekali gus membantu meringankan bebanan mereka,” katanya.

Hajiji berharap peserta Felo SMJ yang ditempatkan di kementerian, agensi kerajaan dan GLC untuk mendapat bimbingan langsung daripada para menteri, ketua-ketua eksekutif dan kepimpinan tertinggi kerajaan akan memperolehi pendedahan alam kerjaya dan dapat mempelajari tatacara pengurusan sesebuah kementerian, agensi dan GLC. 

“Semoga peluang menjadi Felo SMJ dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta bagi mempelajari sebanyak mungkin ilmu dan kemahiran, baik dalam aspek pentadbiran hingga ke tanggungjawab sosial korporat (CSR). 

“Sepanjang pelaksanaan program ini dan selepas itu, mereka disaran untuk mengaplikasikan pengetahuan dan pengalaman untuk kembali kepada masyarakat,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Memahami Bidang Kuasa TYT Sabah & Mengapa Tun Musa Aman Dilantik?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular