HomeIsu tempatanNDRC-UMS giat beri pendidikan bencana alam kepada masyarakat di Sabah

NDRC-UMS giat beri pendidikan bencana alam kepada masyarakat di Sabah

Read Time:1 Minute, 40 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), terus menggiatkan aktiviti memberikan pendidikan awam berkaitan bencana alam kepada masyarakat setempat di Sabah.

Terbaru, NDRC telah mengadakan siri Program Pendidikan Awam Bencana Alam di Kampung Melangkap Baru, Kota Belud baru-baru ini.

Menurut Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus, program tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat di kawasan terpilih untuk sentiasa berwaspada terhadap bencana alam.

“Sepanjang program ini, kami telah menjemput penceramah-penceramah profesional dari luar dan dalam UMS untuk memberikan perkongsian kepada yang hadir.

“Antara topik ceramah yang dibincangkan ialah mengenai pengurangan risiko bencana alam, cuaca ekstrim, banjir dan aliran Puing, tanah runtuh, gempa Bumi dan ceramah Pengurusan Bencana Negara,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, program yang dianjurkan telah melibatkan penduduk setempat termasuk murid sekolah, belia dan pengusaha homestay.

“Untuk itu, kami juga mengetengahkan aktiviti seperti latihan kecemasan banjir , latihan kecemasan kebakaran dan pameran poster bencana alam sebagai persediaan menghadapi bencana di samping menambah pengetahuan berkaitan risiko bencana alam,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor menyokong usaha penganjuran ceramah sedemikian yang dilihat dapat memberi pendedahan dan pendidikan kepada orang awam tentang bencana alam seperti gempa bumi, banjir dan aliran puing, tanah runtuh dan kemarau khasnya di daerah Kota Belud, Sabah.

“Program ini penting untuk meningkatkan lagi aspek kefahaman dan kesedaran masyarakat terhadap pelbagai kejadian bencana alam yang sering melanda negara ini khususnya di Sabah.

“Adalah menjadi harapan pihak UMS agar kekerapan penganjuran program sebegini dapat memperkasakan lagi bidang penyelidikan bagi membantu masyarakat khususnya di Sabah untuk mendepani masalah bencana alam yang berlaku,” ujar Kasim.

Program sehari itu dirasmikan oleh Pegawai Daerah Kota Belud, Bakri Nanun.

Turut bekerjasama dalam program tersebut ialah Pejabat Daerah Kota Belud, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Sabah (JMG Sabah), Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia, Kota Belud (JBPM Kota Belud) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Kota Belud (APM Kota Belud). – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Orang ramai dijemput hadir ke pameran khas karya seni Tuan Yang...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular