HomeUtamaSabah di landasan tepat untuk terus maju, membangun

Sabah di landasan tepat untuk terus maju, membangun

Read Time:3 Minute, 24 Second

TAMBUNAN: Kombinasi dasar pembangunan negara dan negeri yang senada dan seirama telah meletakkan Sabah di landasan yang tepat untuk terus maju dan mara ke hadapan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, sebagai rakan yang membentuk Persekutuan Malaysia, Sabah akan terus memelihara hubungan akrab dengan Semenanjung dan Sarawak, lebih-lebih lagi dengan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, sejak Malaysia ditubuhkan enam dekad lalu, banyak kemajuan yang telah dicapai, namun masih terdapat banyak lagi kekurangan yang perlu dikejar bagi merapatkan jurang pembangunan antara ketiga-tiga wilayah yang bergabung membentuk Malaysia pada hari ini iaitu Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

“Perjuangan kita untuk mengisi kemerdekaan adalah suatu proses yang berterusan. Kemajuan dan pembangunan adalah perkara yang wajib dilaksanakan demi kesejahteraan seluruh rakyat.

Gagasan Malaysia Madani yang menjadi tonggak pentadbiran negara di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah sejajar dan selari dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadi Dasar Hala Tuju Kerajaan Negeri sejak tiga tahun lalu.

“Kita telah melalui pelbagai ujian dan kejayaan dalam tempoh enam dekad lalu, tetapi tiada yang lebih menyegarkan daripada semangat yang kita lahirkan pada hari ini. Ia adalah satu semangat yang mewakili suara dan kehendak rakyat Sabah. Ia merupakan semangat yang sejajar dengan matlamat kerajaan negeri di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan – iaitu kami bertekad untuk menjadi kerajaan untuk rakyat yang berkongsi impian rakyat Sabah”, katanya ketika
merasmikan Sambutan Hari Sabah (Sabah Day) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 di Dewan Pisompuruan Square, pada Khamis.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri pada hari ini, dibawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan, sedang berusaha meningkatkan ekonomi dan memperbaiki taraf hidup rakyat.

“Matlamat kita adalah jelas, iaitu mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, kita mengakui pentingnya hubungan akrab antara kerajaan negeri dengan Pusat terus diperkukuh, demi mencapai kemajuan pembangunan serta kemakmuran ekonomi.

“Kita percaya, dengan hubungan yang akrab itu ia akan memudahkan segala urusan dan tuntutan, sama ada membabitkan Perjanjian Malaysia (MA63) atau perkara-perkara lain yang berkaitan dengan pembangunan dan kenegaraan”, tegasnya.

Beliau turut berkongsi beberapa kejayaan yang dicapai kerajaan negeri dalam tempoh lebih dua tahun, sejajar dengan pelan pembangunan Hala Tujuh SMJ. Antara bukti kejayaan itu ialah pencapaian dalam sektor pembangunan ekonomi apabila perdagangan Sabah telah mencapai
rekod tertinggi dalam sejarah.

Katanya, pada tahun lalu perdagangan Sabah bernilai RM118.1 bilion berbanding RM 87.2 billion pada tahun 2021. Peningkatan sebanyak 35.4% ini adalah disebabkan pertumbuhan
ekonomi yang positif sejak kebelakangan ini dan nilai perdagangan itu dijangka akan terus
meningkat naik.

Menurutnya, dalam dua tahun pertama pemerintahan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), banyak kejayaan dicapai dari segi MA63 yang telah diperjuangkan.

“Kerajaan GRS dan rakan-rakan telah bekerja keras untuk mengukuhkan kestabilan politik dan perpaduan di Sabah. Beberapa peristiwa penting telah dicapai oleh kerajaan negeri berhubung MA63 termasuk dalam sektor minyak dan gas. Baru-baru ini, SMJ Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh kerajaan negeri diberikan Penarafan AAA oleh Risk Assessment Model Ratings (RAM Ratings) untuk menaikkan sukuk bernilai RM10 bilion selepas syarikat itu dianggap sangat
strategik kepada kerajaan negeri sebagai kenderaan untuk memperjuangkan sumber minyak
dan gas negeri Sabah.

“Kita terus berada di landasan yang betul selepas penstrukturan semula Bank Pembangunan Sabah (SDBank) baru-baru ini, dimana pada 11 Ogos 2023 ianya diletakkan di bawah bidang kuasa Ketua Menteri, mengikut Ordinan Perbadanan Ketua Menteri. SDBank yang sebelum ini di bawah Sabah Development Berhad, kini terletak di bawah pemantauan Kementerian
Kewangan Negeri.

“Usaha ini memperkukuhkan lagi komitmen kerajaan negeri untuk menyokong penuh SDBank dalam melaksana tanggungjawab kewangan, sekali gus memperkasakan pembangunan badan itu. Kini SDBank boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembangunan ekonomi,
sosial dalam masa sama melindungi alam sekitar ketika melaksanakan projek di Sabah”, tegasnya.

Hajiji berkata, pencapaian lain yang boleh dibanggakan ialah dalam masa lebih dua tahun mengambil alih kerajaan, Sabah telah menarik lebih daripada RM33 bilion nilai pelaburan dan memperoleh hasil sebanyak RM7 bilion, yang tertinggi sejak mencapai kemerdekaan.

Menurutnya, masih banyak juga yang boleh dilakukan termasuk mempertingkatkan peluang
pelaburan yang boleh memanfaatkan pelbagai sektor pembangunan di Sabah. Antara strateginya ialah pembinaan dua lagi taman perindustrian yang akan dibina di Kimanis dan satu lagi di lokasi antara Kota Belud dan Kota Marudu untuk menambah zon industri sedia ada.

RELATED ARTICLES
Utama

Restoran dan penginapan pekerja pusat peranginan di Semporna musnah terbakar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya