HomeSukanSAGA 2023 : 3,328 atlet sertai pusingan kelayakan berpasukan di enam zon

SAGA 2023 : 3,328 atlet sertai pusingan kelayakan berpasukan di enam zon

Read Time:2 Minute, 0 Second

Kota Kinabalu : Seramai 3,328 atlet di enam zon seluruh Sabah telah menyertai Pusingan Kelayakan Berpasukan Sukan Sabah (SAGA) 2023 yang berakhir pada Jumaat lalu.

Jumlah itu melibatkan seramai 643 peserta di Zon Pantai Barat Selatan, 496 peserta di Zon Sandakan, 777 peserta di Zon Tawau, 626 peserta di Zon Pantai Barat Utara, 506 peserta di Zon Pedalaman Atas dan 280 peserta di Zon Pedalaman Bawah.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Fairuz Renddan berkata, pusingan kelayakan kali ini melibatkan enam jenis sukan berpasukan iaitu bola jaring, bola keranjang, bola sepak, bola tampar, hoki dan juga sepak takraw.

Katanya, pasukan-pasukan yang layak akan bertanding di temasya sebenar SAGA X Kota Kinabalu 2023 pada 16 hingga 22 Disember depan.

“Bagi pihak kementerian, saya berharap pasukan-pasukan yang layak akan meneruskan latihan dan menggandakan kekuatan kerana di SAGA sebenar nanti, pertandingan yang bakal diharungi pastinya jauh lebih sengit umpama ‘bertemu buku dengan ruas’.

“Apa yang lebih penting, melalui SAGA ini kita dapat mengenalpasti lebih ramai bakat atau potensi juara yang akan mewakili Sabah bertanding di peringat lebih tinggi lagi khususnya di Sukan Malaysia atau SUKMA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa meninjau sesi pertandingan di Kompleks Sukan Kota Kinabalu di Likas di sini.

Tambahnya, pihak kementerian turut berpuas hati dengan persiapan dan penganjuran pusingan kelayakan kali ini yang berlangsung selama lima hari bermula 28 Ogos lalu.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS); Datuk Mansur Asun, Timbalan Setiausaha Tetap KBSS; Charles William Dabbi, Pengurus Besar, Lembaga Sukan Sabah (LSS); Terrace Pudin dan Pengarah, Majlis Sukan Negeri Sabah (MSN Sabah); Mohd. Asneh Mohd. Noor.

Fairuz berkata, penganjuran SAGA dilihat menepati keperluan pembangunan sukan negeri ini. 

Katanya, walaupun Kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah kewangan yang agak besar, tetapi hasilnya amat berbaloi dengan kemunculan ramai atlet-atlet ternama seperti Rayzam Shah Wan Sofian, Andre Anura Anuar, Mohd Eizlan Dahalan dan ramai lagi.

Dalam pada itu, Mansur ditemui semasa meninjau sesi pertandingan sepak takraw di Dewan Sri Putatan, merakamkan terima kasih kepada semua kakitangan MSN Sabah yang telah bertungkus-lumus dan menunjukkan komitmen tinggi di dalam melaksanakan tugas pemantauan sepanjang pusingan kelayakan itu berlangsung.

“Terima kasih juga kepada semua pegawai pertandingan yang terlibat, para pengadil, pegawai dari persatuan, pegawai dari Pejabat Daerah, pegawai kesihatan, Polis, RELA, ibu bapa dan ahli keluarga atlet yang datang menyokong, serta juga para penaja dan rakan-rakan media,” kata beliau. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Piala Malaysia : Perlawanan ini sangat penting – Martin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular