Sandakan : Seekor anak orang utan betina yang liar diberikan nama ‘Didi’ oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, Didi merupakan anak kepada orang utan betina bernama Kacy yang sudah melepasi program pemulihan orang utan di Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok.
“Kacy adalah ibunya, Kacy adalah orang utan yang sudah dilepaskan ke luar dan melepasi program pemulihan orang utan di pusat ini.
“Kacy melahirkan anak pada 27 Januari 2020, kini anak orang utan tersebut berumur tiga tahun dan tinggal bersama ibunya di hutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa lawatan Seri Paduka Baginda berdua ke pusat tersebut sempena Program Kembara Kenali Borneo, di sini semalam.
Pada majlis itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menulis nama Didi di atas sijil lahir binatang terancam itu.
Seri Paduka Baginda berdua turut meluangkan masa melayan kerenah manja seekor anak gajah Pygmy Borneo, ‘Taburi’ yang diselamatkan oleh petugas Jabatan Hidupan Liar yang ketika itu cedera di bahagian depan kaki kanan akibat terkena jerat penduduk kampung.
Sambil berseloroh, Al-Sultan Abdullah sempat memperkenalkan diri Baginda kepada Taburi yang kini berusia sembila bulan dan kelihatan jinak dan manja ketika diberi makan lobak merah.
Program kembara yang masuk hari ketiga semalam akan meneruskan perjalanannya ke ibu negeri hari ini. – JAPEN SABAH