HomeUtamaSabah bertuah dapat mercu tanda pentadbiran syariah - Agong

Sabah bertuah dapat mercu tanda pentadbiran syariah – Agong

Read Time:1 Minute, 19 Second

Kota Kinabalu : Sabah cukup bertuah kerana mendapat satu lagi mercu tanda berkaitan pentadbiran Islam atau syariah, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka Baginda dalam titahnya, mercu tanda iaitu Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah itu secara tidak langsung telah membuktikan satu manifestasi kewujudan pentadbiran syariah Islam yang telah bertapak di Sabah.

“Jadi ini semua kerana usaha-usaha yang telah diusahakan oleh kepimpinan terdahulu dari Tuan Yang Terutama dahulu, Yang Berhormat Ketua-Ketua Menteri terdahulu dan seterusnya Menteri-menteri Kabinet yang bertanggungjawab dalam agama.

“Tidak lupa juga kepada Sahibus Samahah Mufti terdahulu dan kini, Alhamdulillah.  Dan saya harap dengan terbinanya satu mercu tanda ini yang kita harus sama-sama bangga,” titah baginda pada Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah di sini hari ini.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Dato Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Seri Paduka Baginda turut berharap hakim-hakim yang diamanahkan untuk melunaskan tanggungjawab mengurus segala masalah umat Islam di Sabah akan dapat diselesaikan dengan seadil-adilnya.

“Kita tahu ada juga rungutan kerana kelewatan membuat keputusan yang kecil atau yang besar tetapi ini harus dijadikan satu tanggungjawab bersama untuk menentukan segala urusan berkaitan dengan hal-hal rumah tangga,hal-hal faraid.

“Hal-hal undang-undang syariah perlu diuruskan dengan sebaiknya dan secepat mungkin dengan berlandaskan penaduan hukum hakam dan elemen-elemen syariah,” titah baginda. – SABAH MEDIA. / FOTO JAPEN SABAH

RELATED ARTICLES
Utama

SPRM Sabah tahan pasangan suami isteri bekas CEO & pengarah syarikat...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular