HomePolitikGagasan Rakyat tidak tergugat, terima sambutan baik rakyat - Hajiji

Gagasan Rakyat tidak tergugat, terima sambutan baik rakyat – Hajiji

Read Time:1 Minute, 31 Second

Kota Kinabalu : Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yakin kedudukan parti itu dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan tergugat malah akan terus menerima sambutan yang baik daripada rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah yang mahu merampas semula Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang disifatkan sebagai cita-cita parti itu.

“Itu cita-cita besar mereka, jadi kita tunggu sajalah. Kita tidak tergugat kerana kalau melihat keahlian setakat ini, sambutan terhadap Gagasan Rakyat cukup hebat.

“Bayangkan Gagasan Rakyat ketika ini sudah dapat beberapa ratus ribu ahli hanya selepas beberapa bulan ditubuhkan,” katanya.

Katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat, di sini, petang tadi.

Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha BERSATU Sabah, Abdul Kadir Damsal, baru-baru ini berkaitan kemampuan parti itu merampas semula Sabah pada PRN akan datang.

Abdul Kadir dilaporkan sebagai berkata, BERSATU Sabah berjaya bangkit semula selepas sebahagian besar pemimpinnya, termasuk Hajiji keluar daripada parti itu akhir tahun lalu sebelum mengambil alih Gagasan Rakyat.

Hajiji berkata, keahlian Gagasan Rakyat kini telah mencecah seramai 300,000 orang pada ketika ini dan menyifatkan apa yang dinyatakan pemimpin BERSATU itu sebagai lumrah politik, namun rakyat yang akan menentukan kejayaan mana-mana parti.

“Biasalah parti politik cakap lebih-lebih sikit untuk menyakitkan hati rakyat, tapi biar rakyat yang akan menentukan nanti,” katanya.

Katanya, Gagasan Rakyat juga kini telah melebarkan sayap ke Labuan, menjadikan pulau bebas cukai itu sebagai satu-satunya bahagian yang mewakili kawasan Parlimen.

Sementara itu, katanya Gagasan Rakyat dijadual mengadakan mesyuarat bahagian yang pertama di 73 bahagian bermula 23 September ini hingga 15 Oktober depan.

“Perhimpunan Agung yang pertama parti ini pula akan diadakan pada 13 dan 14 November depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC),” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan negeri hargai peranan media di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya