HomeUtamaMAFS disaran tidak dalam sindrom penafian isu manipulasi beras putih tempatan -...

MAFS disaran tidak dalam sindrom penafian isu manipulasi beras putih tempatan – Ronald

Read Time:1 Minute, 48 Second

Kota Kinabalu: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) disaran untuk tidak dalam sindrom penafian berkenaan skandal manipulasi pemasaran beras putih tempatan (BPT) pada ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Portfolio Pertanian Perikatan Nasional Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kementerian itu seharusnya lebih serius dan peka menangani isu kekurangan BPT ini, yang hanya berlaku ketika harga runcit Beras Putih import mencecah sehingga RM3.90 sekilo, berbanding harga kawalan runcit BPT pada harga RM2.60 sekilo.

Beliau yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, perbezaan harga yang ketara ini pastinya merupakan salah satu faktor pendorong kepada skandal manipulasi untuk terus berlaku.

Menurutnya negara secara konsisten telah berjaya mengeluarkan beras tempatan mencecah 65 peratus Tahap Sara Diri (SSL) dan hanya mengimpot 35 peratus daripada keperluan.

Malah, katanya, sebahagian besar daripada beras yang diimport ini adalah beras wangi dan beras istimewa dan bukan beras putih.

“Persoalannya dimana perginya beras putih tempatan yang secara tiba-tiba berkurangan secara ketara ketika ini? Apakah jaminan Kementerian bahawa kekurangan ini tiada kaitan dengan kenaikan harga runcit beras import?

“Tindakan menteri bertanggungjawab dan kementerian sekadar mengeluarkan kenyataan penafian bahawa tiada manipulasi beras tempatan dijual sebagai beras import adalah amat tidak memadai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, katanya, kementerian itu harus lebih proaktif dalam memastikan pengguna tidak ditindas oleh pihak yang bertanggungjawab yang ingin meraih keuntungan memanipulasi beras tempatan sebagai beras import.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata tindakan menghadkan pembelian 100 kilogram bagi setiap individu seperti yang diumumkan oleh kementerian hari ini adalah sekadar melepaskan batuk di tangga.

Ianya tidak menampakkan kesungguhan dan keprihatinan kerajaan kerana pengumuman seperti ini pada hakikatnya tidak memberi kesan sekiranya tidak disusuli dengan tindakan pengkuatkuasaan yang berkesan, katanya

Menurutnya kekurangan beras putih tempatan di pasaran akan lebih meresahkan, membebankan dan mengecewakan rakyat yang pada ketika ini sedang berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup sejak pemerintahan kerajaan pimpinan  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya memohon agar Kerajaan lebih peka dan memastikan bekalan beras tempatan tidak akan dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kerajaan membelanja lebih RM1.8 billion setahun melalui pelbagai subsidi untuk memastikan rakyat Malaysia menikmati bekalan beras putih tempatan pada harga RM2.60 sekilo,” tegas Ronald.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular