HomeEkonomiProjek dibiayai swasta dikhuatiri mengalami masalah kewangan

Projek dibiayai swasta dikhuatiri mengalami masalah kewangan

Read Time:1 Minute, 58 Second

Kuala Lumpur : Projek pembinaan infrastruktur yang dibiayai swasta di negara ini lazimnya tidak akan berdaya maju dan akan mengalami masalah kewangan dalam jangka masa panjang.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, keadaannya itu akhirnya akan memaksa kerajaan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Beliau berkata demikian menerusi penerangan terperinci kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung projek pembiayaan swasta beberapa bulan lalu.

“Berdasarkan pengalaman saya, kerajaan negeri mahupun kerajaan Pusat perlu berhati-hati bukan sahaja dalam soal projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) tapi juga apa-apa projek infrastruktur lain yang mahu dibiayai swasta.

“Awal-awal dia (pihak swasta) kata nak dibiayai sendiri. Bila dia kata nak buat projek RM2 bilion, RM3 bilion, tapi dia tak ada pun duit RM2, RM3 bilion itu,” katanya menerusi satu klip video yang dimuat naik di aplikasi Tiktok menerusi akaun BFM89.9 – Bold Frank Media.

Menerusi rakaman video berdurasi lima minit 15 saat itu Rafizi yang kelihatan berada sepentas bersama Mohamad Sanusi dalam satu program menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkaitan projek KXP.

Pada 1 Julai lalu, Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan memaklumkan, hasil dapatan konsultan National Airports Strategic Plan (NASP) mendapati tiada keperluan untuk sebuah lapangan terbang baharu dilaksanakan di Kulim kerana fasiliti di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) masih mampu mengendalikan permintaan perkhidmatan kargo dan penumpang.

MOT berkata, cadangan pembinaan KXP sebaliknya boleh dipertimbangkan selepas LTAPP mencapai kapasiti maksimum 20 juta penumpang setahun (MPPA) yang diunjurkan pada 2042, selain menegaskan tiada sebarang cadangan penyertaan swasta mampu biaya kos projek KXP.

Dalam pada itu, Rafizi menegaskan, kerana ketiadaan dana, pihak swasta akan mengambil surat kelulusan projek sama ada daripada kerajaan negeri atau kerajaan Pusat untuk membuat pinjaman bank.

“Di situlah masalahnya sebab duit yang mereka dapat adalah untuk kegunaan pembinaan projek dan dia tak peduli dah lepas 20, 30 tahun projek itu jadi apa kerana mereka dah dapat untung dari awal-awal.

“Takkanlah bila dah buat projek infrastruktur sebegini contohnya lapangan terbang dan pelabuhan besar-besar, lepas itu projek itu terbengkalai. Kita kerajaan pula takkan nak ‘kelip-kelip’ tengok saja, tak boleh,” katanya.

Katanya, kebiasaanya pihak swasta akhirnya akan datang bertemu kerajaan dan memberitahu projek yang mereka laksanakan bermasalah dan memaksa kerajaan untuk campur tangan.

Justeru, Rafizi berkata, pihak yang mahu membiayai projek KXP perlu membuktikan bahawa projek itu mampan daripada segi kewangan supaya ia tidak menjadi projek gajah putih.

RELATED ARTICLES
Utama

Kelab Lions mampu membawa perubahan positif dalam komuniti

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya