HomeUtamaF&N perlihat Sabah lokasi ideal perniagaan berkembang secara dinamik dan berdaya saing...

F&N perlihat Sabah lokasi ideal perniagaan berkembang secara dinamik dan berdaya saing – Dr. Joachim

Read Time:2 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU: Perjalanan perniagaan Fraser & Neave Holdings Berhad (F&NHB) yang berdekad lamanya di Sabah memperlihatkan negeri ini lokasi yang ideal untuk perniagaan berkembang secara dinamik dan berdaya saing.

Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, komitmen F&NHB terhadap negeri Sabah telah menjadi sumber inspirasi kepada semua pemain industri sejak berdekad lamanya.

“Pelaburan mereka bukan demi kejayaan sendiri tetapi juga memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi di Sabah.

Dr. Joachim berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Media sempena Sambutan Ulang Tahun F&N yang ke-140 di pusat beli belah Suria Sabah, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, perjalanan F&NHB dalam industri makanan dan minuman (F&B) selama 140 tahun adalah bukti komitmen berterusan terhadap Sabah secara keseluruhan.

Tambahnya, usaha F&NHB ini dalam mengukuhkan pembangunan industri tempatan dan peningkatan ekonomi Sabah merupakan satu bukti keberkesanan syarikat ini dalam industri F&B.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri Sabah amat menyambut baik dan menyokong sepenuhnya inisiatif yang dilakukan oleh F&NHB. Dalam konteks ini, F&NHB telah menyediakan peluang sebanyak 500 pekerjaan kepada rakyat di negeri Sabah.

“Saya difahamkan, jumlah pekerja secara langsung ialah seramai 200 orang dan secara tidak langsung yang terdiri daripada pengedar dan pembekal berjumlah 300. Saya yakin dengan potensi yang ada di negeri ini akan memberikan satu impak pembangunan yang amat positif di Sabah,” katanya.

Dr. Joachim turut memuji penglibatan F&NHB dalam melahirkan generasi tempatan yang gah di persada dunia.

Katanya, dengan kerjasama yang terjalin bersama F&NHB dalam menyokong inisiatif sektor pendidikan, F&NHB bermatlamat untuk mempersiapkan generasi muda dengan kemahiran dan pengetahuan yang mereka perlukan untuk maju dalam landskap pasaran global yang sentiasa berubah.

“Baru-baru ini F&NHB telah menjalinkan satu kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu (PPDKK) untuk menganjurkan Pertandingan Mencipta Poster Digital sempena Hari Kebangsaan yang ke-66. Tujuannya ialah untuk mencungkil bakat dan meningkatkan kemahiran insaniah pelajar melalui pendedahan kepada teknologi terkini,” katanya, sambil mengucapkan tahniah kepada F&NHB di atas pencapaian dan kejayaannya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Operasi Komersial Domestik (Malaysia Timur & Brunei) Fraser & Neave Holdings Bhd, Graham Lim berkata, hubungan kukuh F&NHB dengan Malaysia Timur adalah bukti komitmen berterusan terhadap pertumbuhan Malaysia Timur. Selaku peneraju dalam penubuhan kilang-kilang di Kuching pada tahun 1966 dan Kota Kinabalu pada tahun 1971, pelaburan F&NHB telah memainkan peranan penting dalam pembangunan kawasan-kawasan ini.

“Kami telah menyaksikan potensi pertumbuhan di Malaysia Timur dan berazam sepenuhnya untuk memajukannya. Selaras dengan sambutan ulang tahun ke-140, kami memberikan tumpuan terhadap penyempurnaan strategi kami untuk mencapai kejayaan yang lebih besar serta menyumbang kepada kemakmuran negeri ini.

“Pelaburan terkini dalam penubuhan gudang dan tapak perkilangan air minuman di Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu juga menzahirkan tekad kami demi kemajuan Malaysia Timur,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Penolong Pegawai Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Ahmad Mohd Akib dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Bunsu Gaga.

Ulang Tahun F&N ke-140 berlangsung selama empat hari bermula 14 sehingga 17 September 2023 dengan pameran khas bertempat di Atrium Utama, pusat beli belah Suria Sabah, Kota Kinabalu.

RELATED ARTICLES
Utama

Pindaan Ordinan Buruh Sabah diluluskan selepas 20 tahun

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular