HomeUtamaKembara Kenali Borneo : Agong, Permaisuri zahir rasa sukacita dapat dekati rakyat...

Kembara Kenali Borneo : Agong, Permaisuri zahir rasa sukacita dapat dekati rakyat Sabah dan Sarawak

Read Time:1 Minute, 54 Second

Kuala Lumpur : Yang di-Pertua Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa sukacita dan syukur kerana telah dapat menyempurnakan impian untuk mendekati rakyat Sabah dan Sarawak menerusi Kembara Kenali Borneo yang berakhir di Telok Melano Sarawak Rabu lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mejar Jeneral Dato’ Indera Zahari Mohd Ariffin berkata, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, Kerajaan Sabah dan Sarawak atas segala bantuan dalam menjayakan program tersebut yang bermula di Tawau, Sabah pada 3 September lalu.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat negeri Sabah dan Sarawak atas sambutan sangat hebat yang telah diberikan kepada Baginda berdua dan sekeluarga sepanjang pengembaraan menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo.

“Seri Paduka Baginda berdua amat terharu dan tersentuh dengan semangat dan kasih rakyat yang dizahirkan di sepanjang jalan raya lokasi pengembaraan tanpa mengira penat lelah, ketika lewat malam serta keadaan cuaca panas terik dan hujan lebat.

“Sesungguhnya, segala pengalaman menyaksikan manifestasi kasih rakyat, semangat perpaduan, kepelbagaian budaya serta etnik dan keindahan lanskap semula jadi di kedua-dua negeri terpahat di hati Seri Paduka Baginda berdua dan sekeluarga sebagai kenangan manis yang tidak akan dapat dilupakan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Zahari berkata, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita kerana program Kembara Kenali Bomeo itu juga telah memberi peluang untuk Baginda berdua mengeratkan lagi silaturahim antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak dan juga merealisasi semangat ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’.

Menurutnya, Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan semoga rakyat Sabah dan Sarawak dilindungi serta dipelihara oleh Allah S.W.T dan agar negeri Sabah dan Sarawak kekal makmur, maju jaya dengan rakyatnya juga kekal hidup dengan semangat perpaduan, aman dan sentosa.

“Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia yang akan diraikan pada 16 September 2023 kelak. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat menghayati dan menjiwai prinsip Rukun Negara yang merupakan asas kepada perpaduan nasional dan pembentukan identiti Bangsa Malaysia.

“Seri Paduka Baginda bertitah, ini adalah kerana setiap lima teras prinsip Rukun Negara adalah formula bagaimana rakyat yang berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa boleh mengatasi segala perbezaan dan kepelbagaian serta hidup secara rukun dan damai,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

UMS utamakan kebajikan pelajar, sedia bantu Crisnanalina daftar pengajian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular