HomeUtamaMOSTI komited bantu Sabah budayakan STI

MOSTI komited bantu Sabah budayakan STI

Read Time:1 Minute, 51 Second

Membakut : Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kekal komited dalam memberikan sokongan penuh kepada setiap program pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di Sabah.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, Pusat Sains Negara (PSN) merupakan salah satu agensi di bawah MOSTI yang berperanan mencetus dan menyemai minat rakyat ke arah pembelajaran sains dan teknologi sepanjang hayat.

“Bagi mencapai matlamat tersebut, pelbagai inisiatif melalui program-program pembudayaan sains telah dirancang dengan teliti oleh PSN bertujuan untuk menyuburkan minat mereka  terhadap bidang STI.

“Baru-baru ini PSN bersama U-Science, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan kerjasama bagi mewujudkan Pusat Sains Satelit. Melalui kerjasama ini, PSN menempatkan sebanyak 30 barang pameran bernilai RM1.5 juta di pusat tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Kembara Sains Borneo (KSB) Siri 2 Tahun 2023 di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Arthur berkata, pihaknya juga telah mewujudkan Ruang Daya Cipta di Sandakan dan Keningau sebagai inisiatif pembudayaan bakat STI dalam kalangan komuniti luar bandar termasuk kawasan pedalaman.

“Di masa hadapan, sebuah lagi RDC akan diwujudkan di Tuaran. Fasiliti pembudayaan sains ini memberi nilai tambah kepada usaha Kerajaan Sabah dalam mewujudkan Pusat Sains di Perpustakaan daerah di negeri ini.

“Dalam jangka masa panjang, MOSTI dan PSN akan mengukuhkan lagi kerjasama dengan KSTI agar dapat kita wujudkan satu Pusat Sains Cawangan Wilayah Sabah bagi menyemarakkan lagi minat anak-anak muda kita terhadap bidang STI,” katanya.

Sementara itu, Arthur berkata, pelaksanaan KSB Siri 2 merupakan inisiatif di bawah payung besar Minggu Sains Negara (MSN) yang dibawa khusus untuk rakyat di negeri ini.

Katanya, KSB Siri 1 telah berjaya dilaksanakan oleh Akademi Sains Malaysia pada 21 Ogos sehingga 23 Ogos lalu di Kota Marudu, Pitas dan Kudat.

“Hasil soal selidik yang dilaksanakan pada Program KSB Siri 1 mendapati bahawa program turun ke padang seperti KSB telah berjaya memberi pendedahan pelajar mengenai subjek STEM.

“Sebanyak 97 peratus pelajar menyatakan minat terhadap subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) setelah menyertai Program KSB Siri 1,” katanya.

Terdahulu, seramai lebih daripada 1,000 pelajar dari 10 buah sekolah di Kimanis terlibat dalam program yang berlangsung selama tiga hari ini. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Bakal jemaah haji Sabah perlu siapkan diri dari aspek mental, kekuatan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya