HomeUtamaRencana : Laungan Daulat Tuanku, sambut keberangkatan tiba Tuanku ke ESSCOM

Rencana : Laungan Daulat Tuanku, sambut keberangkatan tiba Tuanku ke ESSCOM

Read Time:5 Minute, 36 Second

Kembara Kenali Borneo Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ke Sabah dan Sarawak baru-baru ini bukan sahaja meninggalkan momen indah buat seluruh rakyat di Borneo tetapi lebih-lebih lagi kepada petugas-petugas Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

Selepas hampir sedekad insiden pencerobohan di Lahad Datu dan serangan hendap pengganas di Semporna memberi tamparan hebat khususnya kepada pasukan keselamatan yang mengorbankan  nyawa 10 orang perwira negara selain mencatatkan satu episod hitam dalam lipatan sejarah negara.

ESSCOM yang ditubuhkan pada 1 April 2013 kekal relevan sebagai agensi yang bertanggungjawab menerajui koordinasi keselamatan dalam mengekang pencerobohan anasir asing dan elemen jenayah rentas sempadan selain mempertingkatkan kesejahteraan masyarakat di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) meliputi sepuluh daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. 

Pada hari kedua kembara, Seri Paduka Baginda berdua dan delegasi telah berkenan bercemar duli ke pejabat ESSCOM di Lahad Datu yang disambut oleh Komander Eastern Command (KEC), Deputi Komisioner Victor Sanjos dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM, Dr. Jamaluddin Mohd. Ali. 

Lawatan tersebut merupakan acara yang julung kali diadakan sejak agensi ini ditubuhkan pada 10 tahun yang lepas. Secara amnya, tidak ramai yang mengetahui akan kewujudan sebuah agensi keselamatan khas terdiri daripada gabungan pegawai dan anggota/ staf Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Perkhidmatan Awam Persekutuan berpusat di Daerah Lahad Datu.

Sementara itu, ramai juga yang masih keliru dengan penggunaan terma Kawasan Keselamatan Khas (SSA) pantai Timur Sabah dan Zon Selamat Sabah Timur/ Eastern Sabah Safety Zone (ESS Zone) sama ada daripada pihak jabatan/ agensi kerajaan, akademik, pihak media mahupun orang awam.

Oleh yang demikian, lawatan tersebut telah memberi peluang bukan sahaja kepada Seri Paduka Baginda berdua dan delegasi bahkan rakyat di Malaysia juga turut dapat mengenali serba sedikit mengenai peranan dan fungsi agensi ini.

Lebih manis lagi, lawatan ini turut diserikan dengan keberangkatan bersama paduka anakanda-anakanda, Y.A.M Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah; Y.A.M Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana; Y.A.M Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera; dan Y.A.M Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah yang mengikuti program di ESSCOM.

Selain bertemu dengan penduduk tempatan di ESS Zone yang setia menunggu konvoi kembara tersebut, Seri Paduka Baginda berdua juga dapat melihat sendiri keberadaan dan menyantuni petugas-petugas ESSCOM termasuk keluarga yang berkhidmat di sini selain pegawai, anggota/ staf daripada jabatan/ agensi keselamatan di daerah ini turut mendapat peluang keemasan beramah mesra dengan pasangan diraja dan delegasi dari Istana Negara.

Seri Paduka Baginda berdua, paduka anakanda-anakanda Baginda dan delegasi pada pertengahan program hari kedua itu telah bercemar duli melawat ke Kuarters Kediaman ESSCOM yang terletak di Taman Palm Garden, Lahad Datu dan beramah mesra dengan warga ESSCOM daripada Bahagian Keselamatan dan Awam termasuk menyantuni salah seorang petugas ESSCOM dan keluarga, Asisten Ketua Staf Pusat Operasi ESSCOM, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob.

Terdahulu, pada 15 Julai 2023 yang lalu, Perdana Menteri Malaysia telah meluluskan peruntukan kewangan sebanyak RM40 juta untuk pembelian 60 unit rumah di kediaman tersebut bagi meningkatkan infrastruktur dan fasiliti petugas ESSCOM yang berkhidmat di pantai Timur Sabah.

Saat paling bersejarah semasa keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan paduka anakanda-anakanda Baginda ialah apabila telah disambut meriah dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ daripada rakyat khususnya dari daerah ini yang menunggu sejak tengah hari di pekarangan Pejabat ESSCOM.

Lawatan ke ESSCOM adalah yang terpenting kerana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan YAM Paduka-Paduka Anakanda Baginda telah dimaklum sembah mengenai perkembangan situasi keselamatan semasa, pengoperasian pasukan keselamatan, perolehan kuarters serta program kemasyarakatan dan peningkatan sosioekonomi komuniti yang diterajui oleh ESSCOM di ESS Zone.

Seterusnya, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan YAM Paduka-Paduka Anakanda Baginda serta delegasi telah dipersembahkan dengan demonstrasi maritim, udara dan penerjunan bebas melibatkan gabungan pasukan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang beroperasi di ESS Zone melalui koordinasi oleh ESSCOM di Markas Pangkalan Polis Marin Lahad Datu Wilayah 4 Sabah. Usai program di ESSCOM, Seri Paduka Baginda berdua telah mengakhiri rangka lawatan dengan sesi ramah mesra bersama-sama rakyat di Dewan Perdana Lahad Datu.

Lawatan Seri Paduka Baginda berdua dan paduka anakanda-anakanda Baginda di ESSCOM turut diiringi oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, PDRM, Dato’ Sri Hazani Ghazali serta Pegawai-pegawai Kanan ESSCOM, Istana Negara dan Ketua Polis Daerah Lahad Datu.

Komander Eastern Command,  Deputi Komisioner Victor Sanjos ketika ditemui menzahirkan perasaan gembira dan berterima kasih kepada Tuanku atas keprihatinan Ketua Negara Malaysia ke ESSCOM.

“Lawatan Tuanku ini adalah cerminan kepada kesungguhan dan keprihatinan Baginda akan kebajikan petugas-petugas ESSCOM yang terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga dan berjauhan dengan insan tersayang demi memelihara kedaulatan, menjaga keselamatan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat di negeri ini khususnya di pantai Timur Sabah.

“Sepertimana titah Tuanku ketika Majlis Santapan Diraja di Kota Kinabalu, kembara ini membina satu lagi jambatan iaitu jambatan silaturahim antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung,” katanya,

Semasa majlis tersebut, Tuanku turut menzahirkan ucapan terima kasih khas atas segala jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh seluruh petugas-petugas keselamatan dan awam ESSCOM termasuk pasukan keselamatan yang berkhidmat di ESS Zone dalam memelihara kedaulatan Negeri Sabah.

Natijah daripada insiden pada 10 tahun yang lepas sebenarnya telah memberi satu pengajaran yang amat besar kepada kita semua bahawa kedaulatan dan keamanan sesebuah negara itu bukanlah merupakan satu perkara yang boleh dijual beli dan dipandang remeh.

Perkara tersebut telah dizahirkan melalui lawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang bertitah agar integriti wilayah di negara ini perlu terus dipertahankan dan dipelihara oleh semua pihak lebih-lebih lagi membabitkan maruah dan kedaulatan tanah air kita yang tercinta.

Sejajar dengan titah Tuanku itu, kita semua rakyat Malaysia khususnya di pantai Timur Sabah diseru untuk menghayati erti kemerdekaan yang inklusif sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 dengan menghayati susur galur sejarah negara yang penuh dengan perjuangan dan pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu dalam usaha membina negara serta berganding bahu dengan pasukan keselamatan memelihara kedaulatan dan nikmat kemerdekaan yang dikecapi ini.

Di samping itu, marilah kita bertekad untuk mengukuhkan ikatan perpaduan dan keharmonian antara kaum sebagai asas kepada kekuatan negara ini. Menjunjung Kasih Tuanku!

Bahagian Khidmat Keurusetiaan, ESSCOM
17 September 2023

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan Potong Berakhir Tragedi: Isteri Pemandu Maut di Lokasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular