HomeUtamaSabah lancar SE-RAMP2040

Sabah lancar SE-RAMP2040

Read Time:3 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor melancarkan Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) hari ini, bagi menangani keperluan jangka masa pendek di samping membina daya tahan jangka panjang yang mampan untuk industri tenaga di negeri ini pada masa hadapan.

Pelan Induk itu menggariskan hala tuju dan inisiatif strategik negeri untuk bergerak ke hadapan dan dengan jangkaan Kerajaan Negeri akan mengambil alih kuasa kawal selia
pembekalan elektrik dan tenaga boleh baharu daripada kerajaan Persekutuan pada Januari tahun depan.

“Kerajaan Negeri komited untuk memastikan SE-RAMP 2040 dilaksanakan secara sistematik dan berkesan,” kata Hajiji di Menara Kinabalu dekat sini hari ini.

Di bawah Pelan Induk itu, Majlis Tenaga Sabah akan ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Ketua Menteri untuk memantau, menyokong dan memberi panduan ke atas pelaksanaan inisiatif jangkamasa pendek, sederhana dan panjang yang dirancang.

Antara objektif SE-RAMP 2040 adalah untuk memastikan bekalan kuasa yang berdaya harap, dengan akses yang saksama dan liputan menyeluruh pada harga yang mampu milik, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk terus membekalkan elektrik kepada rakyat sambil memastikan kemampanan untuk masa depan Sabah.

“Ia juga bagi melengkapkan Dasar Tenaga Negara yang dilancarkan tahun lalu, dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara 2050 (NETR – National Energy Transition Roadmap) yang dilancarkan pada Ogos tahun ini,” tambah beliau.

Katanya, SE-RAMP 2040, yang digubal oleh Energy Commision of Sabah atau ECoS merangkumi pelbagai strategi dan inisiatif untuk mengimbangi trilema tenaga bagi memastikan ia terjamin, mampu milik dan kelestarian alam sekitar.

“Kita tahu dan sedar bahawa isu bekalan elektrik di Sabah telah membelenggu rakyat sejak sekian lama. Kerajaan komited untuk menangani isu yang diwarisi ini dan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikannya.

“Tambahan pula, dengan dasar mesra pelabur Hala Tuju SMJ, keperluan infrastruktur asas
seperti bekalan elektrik dan air kekal menjadi keutamaan. Pelan ini sudah tentu akan membuka jalan kepada kami untuk meningkatkan bekalan elektrik untuk keperluan industri, dan saya mahu ECoS melaksanakan mandat ini ke tahap terbaik untuk kepentingan rakyat dan negeri,” katanya.

Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri berjaya menarik beberapa pelabur berimpak tinggi, seperti projek pembuatan kerajang tembaga SK Nexilis, pengeluar kaca solar Kibing, kilang pemprosesan kelapa bersepadu Linaco dan projek keluli hijau, Esteel.

“Dengan adanya SE-RAMP 2040, Sabah berharap dapat menarik lebih ramai pelabur dan mewujudkan limpahan ekonomi di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan Sabah,” katanya.

Hajiji berkata penubuhan ECoS melalui Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan Enakmen Bekalan Gas 2023 berikutan penyerahan kuasa kawal selia pembekalan gas dan juga fungsi Suruhanjaya Tenaga daripada kerajaan Persekutuan pada Januari tahun ini
adalah sejarah bagi Sabah.

Katanya, ini menunjukkan komitmen dan kerjasama tinggi kedua-dua kerajaan negeri dan Persekutuan dalam melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pelan Induk ini juga merupakan salah satu kejayaan kerajaan negeri mendapatkan hak kita di bawah MA63,” katanya.

Ketua Menteri juga mengulangi bahawa kerajaan negeri akan mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu masing-masing daripada Suruhanjaya Tenaga Persekutuan dan Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), tiga bulan dari
sekarang pada 3 Januari 2024.

“Dengan mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas sektor tenaga di Sabah melalui ECoS, yang telah pun menjalankan tugasnya sebagai pengawal selia gas daratan, juga akan
mengawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh dibaharu.

‘Ini bermakna Kerajaan Negeri Sabah akan dapat membuat keputusan ke atas perkara-perkara yang melibatkan penggubalan undang-undang, penyediaan polisi, serta pembangunan infrastruktur elektrik dan tenaga boleh baharu bagi memastikan ianya selari
dengan pelan pembangunan holistik Negeri Sabah.

“Walaupun tarikh pengambilalihan kuasa kawal selia sepenuhnya ini hanya akan berkuatkuasa pada tahun hadapan namun pihak ECoS telah maju setapak ke hadapan untuk menyediakan pelan induk ini dari aspek pembekalan gas dan elektrik termasuk tenaga boleh baharu di negeri Sabah untuk 17 tahun akan datang,” katanya.

“Saya menyokong penuh SE-RAMP 2040 kerana ia akan menyediakan garis panduan untuk kerajaan dan pemain dalam sektor gas dan elektrik,” katanya sambil menambah bahawa ia
akan memastikan industri tenaga Sabah dipantau dengan teliti dan terus berkembang untuk manfaat orang ramai.

“Pelan Induk itu adalah kebanggaan Kerajaan Negeri kerana kita akan dapat melakarkan laluan kita untuk memacu pembangunan sektor gas dan bekalan elektrik kerana kitalah yang lebih memahami keperluan tenaga negeri kita,” kata Ketua Menteri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata SE- RAMP 2040 telah menggariskan 16 strategi untuk menangani trilema tenaga iaitu
Keselamatan daya harap tenaga, Kebolehcapaian dan Mampu Milik, serta Kelestarian Alam Sekitar.

Antara strateginya ialah memastikan jidar simpanan penjanaan yang mencukupi, mempelbagaikan campuran bahan api, dan perolehan sumber tenaga dan teknologi baharu untuk jangka panjang bagi tujuan mencapai keselamatan tenaga.

RELATED ARTICLES
Utama

Yayasan PETRONAS agih 500 bakul makanan sempena Kaamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular