HomeUtamaWarga ESSCOM diseru sertai kajian SSPA demi kebaikan bersama

Warga ESSCOM diseru sertai kajian SSPA demi kebaikan bersama

Read Time:1 Minute, 46 Second

Lahad Datu : Warga Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) diseru untuk mengambil bahagian dan memainkan peranan selaku penjawat awam dalam kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Dato Adnan Mat berkata, input dan maklum balas daripada pasukan keselamatan dan warga awam di ESSCOM juga penting agar sistem itu dapat ditambah baik.

“Lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan input dan maklum balas daripada pasukan keselamatan dan warga awam yang bertugas di ESSCOM supaya SSPA itu dapat ditambah baik dan tidak ada golongan tercicir pada masa hadapan.

“Kita amat berterima kasih dan menghargai sumbangan serta peranan yang dimainkan oleh pasukan keselamatan dan warga awam di ESSCOM yang meletakkan aspek keselamatan serta kedaulatan negara di tahap tertinggi sehingga terlupa akan kebajikan diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja CUEPACS ke ESSCOM di sini hari ini.

Hadir sama Komander ESSCOM Deputi Komisioner Victor Sanjos dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM, Dr. Jamaluddin Mohd. Ali.

Adnan berkata, pihaknya menyeru dan amat menggalakkan semua petugas di ESSCOM tanpa mengira disiplin untuk menyertai kajian itu agar dapat mengetahui dan seterusnya memperhalusi kebajikan yang diperlukan oleh penjawat awam yang selama ini terlepas pandang.

Sementara itu, Victor turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden CUEPACS dan delegasi yang hadir ke ESSCOM kerana lawatan kerja itu merupakan bukti keprihatinan akan kebajikan warga ESSCOM.

“ESSCOM merupakan sebuah Jabatan yang unik, kerana mampu menyatukan pelbagai agensi yang bukan sahaja mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berbeza tetapi turut memiliki disiplin, karenah, perundangan dan budaya yang pelbagai.

“Lawatan CUEPACS ini juga selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika melawat ESSCOM baru-baru ini yang mahukan agar aspek kebajikan warga ESSCOM dititikberatkan,” katanya.

Terdahulu, delegasi CUEPACS dipertontonkan video korporat ESSCOM yang memaparkan sejarah penubuhan dan perkembangan semasa ESSCOM.

Turut hadir sama pada lawatan itu Pengerusi CUEPACS Sabah, Ajul Ahin Japin; Timbalan Setiausaha Kewangan CUEPACS, Rozimas Ismail; Setiausaha CUEPACS Sabah, Bertha Eldo; Penolong Setiausaha Wanita CEUPACS Malaysia, Rosie Popong; Pegawai Pelajaran CUEPACS Sabah, Eddy Pooson dan Timbalan Komander Eastern Command, Brig. Jen Roslan Mat Saad. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Nurul Yanadido ke Hongkod Koisaan kali kedua

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular