HomePolitikHajiji yakin kerjasama GRS, PH Sabah bawa kejayaan pada PRN akan datang

Hajiji yakin kerjasama GRS, PH Sabah bawa kejayaan pada PRN akan datang

Read Time:2 Minute, 28 Second

TONGOD: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yakin kerjasama baik dengan parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) negeri mampu membawa kejayaan kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Menteri yang juga Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji
Noor berkata, keyakinan itu juga berdasarkan penerimaan rakyat yang meningkat terhadap parti itu walaupun baru kira-kira enam bulan dilancarkan.

Beliau berkata, apa yang penting ketika ini ialah untuk mengukuhkan perpaduan dan menyusun jentera parti, selain meningkatkan kerjasama dan bersatu hati dengan rakan parti dalam kerajaan negeri sekarang.

“Walaupun baru beberapa bulan dilancarkan, dari Mac lalu hingga sekarang, tidak sampai enam bulan tetapi sambutan cukup memberangsangkan dan insyaAllah kalau inilah petandanya, kerajaan GRS dan rakan kerjasamanya akan kekal memerintah Sabah pada PRN akan datang.

“Kerana itu saya minta pemimpin Gagasan Rakyat di setiap bahagian supaya menyusun jentera parti dengan baik dan memastikan parti kuat sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

“Saya yakin dengan sambutan dan kejayaan kita menubuhkan ribuan cawangan dan bahagian di seluruh Sabah, ditambah kerjasama dengan rakan dalam GRS dan juga PH, insyaAllah kita akan berjaya dalam PRN akan datang.

“Yang penting kita kuatkan perpaduan kita, yang penting kita susun jentera parti kita, yang penting juga kita kerjasama dan satu hati dengan rakan parti dalam kerajaan negeri sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Parti Gagasan Rakyat Bahagian Kuamut dan Perasmian Mesyuarat Tahunan 2023 Bahagian itu di Dewan Terbuka Dataran Rakyat Tongod pada Sabtu.

Turut hadir ialah Naib Presiden yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah dan Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohd Razali
Razi.

Hajiji berkata, walaupun Gagasan Rakyat menerima sokongan yang baik daripada rakyat negeri ini, ia masih memerlukan kerjasama dengan rakan lain untuk mentadbir
dan memajukan Sabah.

Sementara itu, beliau berkata keahlian Gagasan Rakyat yang kini mencapai kira-kira 300,000 di semua 73 bahagian parti itu yang ditubuhkan sejak pelancarannya pada 2 Mac lalu, menunjukkan penerimaan baik rakyat Sabah.

“Saya gembira sejak dilancar pada 2 Mac lalu kita menerima ahli hampir 300,000 dengan 73 bahagian diwujudkan mengikut kawasan DUN dan kita amat senang hati kerana semua bahagian telah selesai atau berjaya ditubuhkan.

“Ini menunjukkan bahawa parti ini diterima baik rakyat tempatan kita di Sabah dan hari ini kita boleh nampak satu cerminan sambutan baju merah di kawasan Kuamut, begitu ramai sekali menjayakan mesyuarat bahagian dan juga pelancaran parti ini,” katanya.

Hajiji menjelaskan, Gagasan Rakyat ditubuhkan akibat ketidaktentuan atau ketidakstabilan politik negara dan di Sabah sejak beberapa tahun lalu.

“Kalau kita cerita sejarah keseluruhannya memang mengambil masa panjang tapi saya
mahu nyatakan bahawa parti ini ditubuh kerana memenuhi aspirasi orang tempatan Sabah.

“Mereka mahu kita berjuang dalam parti tempatan seperti di Sarawak yang mengutamakan parti tempatan mereka. Tapi ini tidak bererti bila guna parti tempatan kita tidak mahu bekerjasama degan parti nasional,” katanya.

Beliau mengulangi pendirian Gagasan Rakyat untuk terus bekerjasama dan mempunyai
hubungan yang baik dengan parti nasional dan memenuhi kehendak rakyat yang mahukan parti tempatan untuk mentadbir negeri ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Yayasan PETRONAS agih 500 bakul makanan sempena Kaamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular