HomeUtama52 pelajar Sabah bakal melanjutkan pengajian di Mesir

52 pelajar Sabah bakal melanjutkan pengajian di Mesir

Read Time:1 Minute, 32 Second

Kota Kinabalu : Seramai 52 orang pelajar Sabah bakal melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam pelbagai bidang di dua universiti di Mesir.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, antara universiti terlibat adalah di Universiti Al-Azhar dan Shoubra Mesir.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 49 pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Islam dan Hafiz al-Quran (Qiraat), manakala selebihnya dalam bidang perubatan.

“Mereka ini mendapat tajaan dermasiswa daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan saya harap mereka terus menumpukan perhatian kepada pelajaran mereka dan memanfaatkan masa berada di Mesir untuk menimba sebanyak mungkin ilmu.

“Dalam amanat yang saya sampaikan, saya meminta mereka untuk terlibat dalam persatuan yang ada disana selain berharap agar mereka juga sentiasa menjaga hubungan dengan anak-anak dari negeri lain di Malaysia yang berada di sana.

“Selain itu, kita juga meminta mereka agar memanfaatkan peluang berada di Mesir kerana disana ada tokoh-tokoh ulama besar serta sentiasa mengikuti kuliah di fakulti atau universiti masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meraikan pelajar-pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar dan Shoubra Mesir di sini hari ini.

Arifin yang juga Exco Pendidikan Sabah turut meminta agar para pelajar yang kembali selepas pengajian kelak mampu menyampaikan dakwah selain menyampaikan ilmu dan khidmat kepada masyarakat seperti yang diharapkan Kerajaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, 49 orang pelajar yang akan berangkat ke Mesir itu akan mendapat tajaan dermasiswa Pengajian Tinggi MUIS menerusi Tabung Zakat dan Fitrah dengan kadar RM9,000 setahun selama lima tahun tempoh pengajian mereka.

Katanya, sehingga kini bilangan keseluruhan pelajar-pelajar Sabah di bawah tajaan dermasiswa MUIS (Zakat) yang sedang menuntut di Mesir adalah seramai 150 orang.

“Kita mengharapkan agar pelajar-pelajar ini berangkat dengan selamat dan meraih ilmu pengetahuan dengan cemerlang dan kembali ke negeri Sabah dengan rimbunan manfaat,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan GRS-PH banyak bantu golongan muda dalam pendidikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular