HomeUtamaLangkah berjaga-jaga diambil pastikan keselamatan awam, alam sekitar terjaga

Langkah berjaga-jaga diambil pastikan keselamatan awam, alam sekitar terjaga

Read Time:1 Minute, 19 Second

Kuala Lumpur : Kerajaan tetap mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan keselamatan orang awam dan alam sekitar tidak tercemar berikutan pelepasan sisa air terawat daripada Loji Kuasa Nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik baru-baru ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ia termasuklah langkah pemantauan aras sinaran berterusan dari semasa ke semasa dengan menggunakan aset di stesen pemantauan sedia ada.

“Berdasarkan rekod pemantauan termasuk data dari Stesen Pemantauan Air Gamma Spektrum (Gamma Spectrum Water Monitoring System – GSWMS) di Jeti Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu menyatakan tiada peningkatan aras sinaran yang ketara dikesan sejak dari pelepasan air terawat berkenaan.

“Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat Senator, bacaan purata kadar dos sinaran sepanjang September 2023 yang direkodkan oleh Jabatan Tenaga Atom (JTA) hanya sebanyak tiga nanoSievert/jam iaitu 500 kali lebih rendah daripada had kadar dos untuk orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan ke atas Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe12) di Dewan Negara di sini semalam.

Terdahulu, Arthur berkata, keputusan Kerajaan Jepun melepaskan sisa air terawat di perairan melalui Advanced Liquid Processing System (ALPS) setelah mendapat penilaian terperinci dan pemantauan ketat oleh pihak berkompeten iaitu Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

“IAEA dalam laporan yang telah dikeluarkan pada tahun 2023 bertajuk ‘IAEA Comprehensive Report On the Safety Review of the ALPS Treated Water At the Fukushima Daiichi Nuclear Power Station’ menyatakan bahawa pelepasan sisa radioaktif ini ke Lautan Pasifik adalah mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa serta menyebabkan impak radiologi yang boleh diabaikan (tidak signifikan) kepada manusia dan alam sekitar,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Mayat lelaki warga Sweden ditemui dalam kapal pelayaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular