HomeEkonomiKerajaan Malaysia wajar teliti pendekatan, usaha untuk tarik lebih banyak pelaburan DDI...

Kerajaan Malaysia wajar teliti pendekatan, usaha untuk tarik lebih banyak pelaburan DDI dan FDI

Read Time:6 Minute, 9 Second

Oleh WAN AZRAIN ADNAN

1.         Baru-baru ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri di laporkan berkata bahawa Malaysia telah berjaya meraih sejumlah RM 132.6 billion pelaburan yang di luluskan untuk Separuh Pertama 2023 (Januari – Jun 2023). Jumlah tersebut meliputi 60.3% daripada sasaran pelaburan yang telah tetapkan oleh Kerajaan Malaysia untuk tahun 2023.

2.         Daripada jumlah pelaburan RM 132.6 billion tersebut, Pelaburan Langsung Domestik/ Domestic Direct Investment (DDI) adalah sebanyak RM 69.3 billion (52.2%), manakala Pelaburan Langsung Asing / Foreign Direct Investment (FDI) adalah sebanyak RM 63.3 billion (47.8%).

3.         Jumlah pelaburan DDI yang besar tersebut adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Malaysia untuk mengimbangi kedua-dua pelaburan DDI dan FDI. Sebagai contoh. Pada tahun 2022, Malaysia telah menerima sejumlah RM 267.7 billion pelaburan. Daripada jumlah ini, pelaburan DDI menyumbang sebanyak RM 104.4 billion (38.9%). Manakala, untuk Suku Pertama 2023, sumbangan pelaburan DDI telah meningkat kepada 47.5%, dan berada pada 52.2% untuk Separuh Pertama 2023.

4.         Malah, dalam tempoh 10 tahun, sejak tahun 2013 sehingga Suku Pertama 2023, sejumlah RM 1.37 trillion pelaburan DDI telah di luluskan. Pelaburan DDI tersebut merangkumi: sektor perkhidmatan (RM 1.0043 trillion, 73.3%), sektor pembuatan (RM 291.8 billion, 21.3%) dan sektor utama (RM 73.9 billion, 5.4%). Sektor utama meliputi industri seperti – minyak & gas, kelapa sawit, getah.

5.         Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada pelaburan FDI untuk pembangunan negara. Usaha untuk menarik pelaburan FDI menjadi semakin mencabar dan kompetitif dengan negara-negara menawarkan pelbagai insentif pelaburan, di samping negara-negara memiliki kelebihan serta keunikan tersendiri.

6.         Jumlah pelaburan FDI ke Malaysia telah menunjukkan trend menurun sejak 2016: RM 47 billion (2016), RM 40.4 billion (2017), RM 30.7 billion (2018), RM 31.7 billion (2019), RM 13.3 billion (2020), sebelum melonjak kepada RM 48.1 billion (2021).

Maka, jumlah pelaburan FDI sebanyak RM 63.3 billion yang telah di luluskan untuk Separuh Pertama 2023 adalah satu pencapaian yang amat memberangsangkan.

7.         Tambahan lagi, menurut laporan United Nations Conference on Trade & Development (UNCTAD), pada tahun 2019, Malaysia hanya mendapat 5% daripada jumlah pelaburan FDI yang di terima oleh rantau ASEAN. Lebih 80% pelaburan FDI tersebut telah di bolot oleh tiga negara, iaitu – Singapura, Indonesia dan Vietnam.

8.         Di samping itu, menurut ASEAN Investment Report 2022, iaitu laporan yang di sediakan oleh Sekretariat ASEAN dan United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD), peratusan pelaburan FDI ke Malaysia kekal kecil untuk tahun 2020 – 2021. Untuk tahun 2021, jumlah pelaburan FDI ke Malaysia hanyalah 6.7% dari jumlah keseluruhan pelaburan FDI yang di terima oleh rantau ASEAN. Singapura, Indonesia dan Vietnam terus mendapat bahagian majoriti (77.4%) pelaburan FDI.

9.         ASEAN Investment Report 2022 juga menunjukkan trend peningkatan untuk peratusan pelaburan FDI ke rantau ASEAN dari jumlah keseluruhan pelaburan FDI global: 7.4% (2011 – 2017), 11.0% (2018 – 2019), 11.7% (2020 – 2021). Trend peningkatan ini adalah petanda yang baik untuk pembangunan serta kesejahteraan rantau ASEAN.

Persoalannya, adakah dan bagaimanakah Malaysia boleh meraih peratusan yang lebih tinggi dari jumlah pelaburan FDI yang di terima oleh rantau ASEAN? 

10.       Pada bulan Jun 2023, laporan World Competitiveness Ranking 2023, yang di terbitkan oleh International Institute for Management Development (IMD), telah meletakkan Malaysia di tangga ke-27, dari 64 negara yang tersenarai. Ini merupakan peningkatan 5 tangga, dari tangga ke-32 pada tahun 2022. Sebagai perbandingan, Malaysia berada di tempat kedua di kalangan negara-negara ASEAN yang tersenarai: Singapura (tangga ke-4), Thailand (ke-30), Indonesia (ke-34) dan Filipina (ke-52).

11.       Namun begitu, menurut pakar ekonomi negara, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, walaupun Malaysia telah merekodkan peningkatan kedudukan secara keseluruhan, kedudukan Malaysia di dalam sub-kategori yang di nilai adalah rendah. Daripada 20 sub-kategori berkenaan, hanya enam kategori di mana Malaysia berada di kedudukan 20 teratas, manakala 11 kategori di kedudukan 30 ke bawah. Malah, untuk kategori Pendidikan dan Perundangan Perniagaan, Malaysia berada di tangga ke-45.

12.       Justeru itu, Kerajaan Malaysia wajar meneliti pendekatan dan usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan DDI dan FDI. Salah satu perkara yang boleh di pertimbangkan ialah kadar Cukai Korporat. Ketika ini, kadar Cukai Korporat di Malaysia adalah 24%. Kadar Cukai Korporat ini merupakan antara yang tertinggi jika di bandingkan dengan negara-negara ASEAN: Singapura (17%), Brunei (18.5%), Vietnam (20%), Thailand (20%), Laos (20%), Indonesia (22%) dan Filipina (25%).

13.       Pada masa sekarang, dengan kedudukan kewangan negara yang tidak kukuh, Malaysia mungkin tidak mampu atau bersedia untuk menurunkan kadar Cukai Korporat tersebut, yang boleh mengurangkan pendapatan Kerajaan Malaysia. Setiap tahun, hasil Cukai Korporat adalah penyumbang besar kepada pendapatan Kerajaan Malaysia. Di dalam Belanjawan 2022, hasil cukai pendapatan, termasuklah cukai korporat, di anggarkan menyumbang sebanyak 35.7% dari jumlah keseluruhan pendapatan Kerajaan Malaysia.

14.       Namun begitu, kajian di beberapa negara, seperti United Kingdom dan Kanada, telah menunjukkan bahawa penurunan kadar cukai korporat telah berjaya meningkatkan pelaburan dan seterusnya menambah hasil kutipan cukai.

15.       Kedua-dua pelaburan DDI dan FDI di perlukan untuk memacu pembangunan negara, serta menyediakan pelbagai peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia. Pelaburan sejumlah RM 132.6 billion yang telah di luluskan untuk Separuh Pertama 2023 tersebut melibatkan 2,651 projek, dan di jangka akan mewujudkan 51,853 peluang pekerjaan. Ini bermakna, secara purata, setiap satu pekerjaan berkenaan di wujudkan dengan nilai pelaburan sebanyak RM 2.56 juta.

16.       Sebagai perbandingan. Bagi tahun 2022, sejumlah RM267.7 billion pelaburan telah di luluskan, melibatkan 4,517 projek yang mewujudkan 140,440 peluang pekerjaan. Ini bermakna, secara purata, setiap satu pekerjaan berkenaan di wujudkan dengan nilai pelaburan sebanyak RM 1.91 juta.

17.       Dengan penggunaan teknologi serta automasi secara meluas selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), jumlah pelaburan yang besar tidak semestinya akan mewujudkan jumlah pekerjaan yang banyak. Ini adalah realiti pelaburan masa kini. Oleh yang demikian, adalah satu cabaran yang hebat untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang ‘mencukupi’ untuk rakyat Malaysia.

Persoalannya, adakah semua peluang pekerjaan yang di wujudkan akan di isi oleh rakyat Malaysia?

18.       Pada masa yang sama, peluang pekerjaan yang tersedia dari pelaburan yang di terima mestilah dapat memberikan gaji yang bermaruah kepada pekerja. Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 yang di terbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini menunjukkan bahawa gaji yang di terima oleh pekerja adalah rendah, di mana majoriti (82% atau 5.29 juta orang) pekerja sektor formal menerima gaji kurang dari RM 5,000 sebulan.

Ini telah menyebabkan median atau penengah upah bulanan pada Mac 2023 bagi pekerja sektor formal hanyalah sebanyak RM 2,600 sebulan, di mana ianya sedikit melepasi paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM 2,589 sebulan.

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

U Mobile lancar kedai pertama di Sabah, perkukuh kehadirannya di Malaysia...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya