HomeUtamaKSB berjaya dekati komuniti tingkat minat terhadap STI

KSB berjaya dekati komuniti tingkat minat terhadap STI

Read Time:1 Minute, 48 Second

Nabawan : Pelaksanaan Kembara Sains Borneo (KSB) yang dilaksanakan di beberapa kawasan di negeri ini berjaya mendekati komuniti setempat dalam meningkatkan minat masyarakat khususnya pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ini terbukti apabila penganjuran KSB itu menerima sambutan hangat dari masyarakat Sabah apabila mencatatkan bilangan pengunjung melebihi sasaran yang ditetapkan.

Katanya, seramai 19,408 komuniti terlibat dalam pelbagai aktiviti yang dibawakan sepanjang KSB di Kimanis, Kalabakan termasuklah aktiviti sampingan yang dilaksanakan di sekolah sekitar Parlimen Kimanis; Kalabakan dan Pensiangan sehingga 27 September lalu.

Menurutnya, KSB Siri 2 Parlimen Pensiangan yang bermula semalam telah berjaya merekodkan sejumlah 3,000 pengunjung pada hari pertama menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 22,408 pengunjung.

“Jumlah ini telah berjaya melepasi sasaran yang telah kita tetapkan sebanyak 10,000 pengunjung. Saya percaya jumlah keseluruhan pengunjung ini akan berlipat kali ganda di sepanjang berbaki dua hari lagi pelaksaan program KSB Siri 2 bagi kawasan Parlimen Pensiangan.

“Secara umumnya, kita dapat melihat sambutan yang amat baik daripada komuniti di setiap lokasi KSB terutamanya komuniti pedalaman Sabah. Saya yakin dengan data-data dan maklum balas yang kita terima daripada pengunjung, program jangkau luar seperti KSB dapat kita pertimbangkan sebagai program berkala yang wajar dilaksanakan bagi memastikan aspek pembudayaan STI dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas merasmikan penutupan Program KSB Siri 2 2023 anjuran Pusat Sains Negara (KSN) di sini hari ini.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, program jangkau luar adalah pembudayaan STI dapat membantu negara melahirkan modal insan yang mencukupi.

Katanya, ia juga dapat menampung permintaan dalam industri berasaskan teknologi yang menawarkan pelbagai potensi ekonomi serta peluang-peluang pekerjaan dengan menawarkan gaji lumayan.

Dalam pada itu, Pengarah PSN Mismah Jimbun berkata, program itu menawarkan pelbagai aktiviti interaktif yang menarik berkonsepkan hands on, minds on, hearts on selaras dengan usaha memperkenalkan pembelajaran sains tidak formal berkonsepkan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada masyarakat dan penyertaan adalah percuma kepada semua.

“PSN membawakan bahan pameran interaktif bernilai hampir RM2 juta yang dibawakan khas daripada Kuala Lumpur bagi memberi pengalaman kepada semua peringkat masyarakat supaya dapat merasai keseronokan pembelajaran dalam bidang STI,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Bidang pendidikan, modal insan keutamaan kerajaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular