HomeUtamaManfaatkan keindahan, kekayaan budaya Sabah untuk karya bermutu tinggi

Manfaatkan keindahan, kekayaan budaya Sabah untuk karya bermutu tinggi

Read Time:2 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU: Keindahan Sabah dan kepelbagaian seni budaya serta adat resam yang di negeri ini Sabah perlu diterokai dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pejuang sastera untuk menghasilkan karya yang bermutu tinggi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang sentiasa menyokong usaha dan aktiviti untuk mengangkat seni budaya serta adat tradisi masyarakat tempatan di negeri ini.

“Sabah sangat luas dan kaya dengan budaya serta adat resam. Negeri ini saja mempunyai 35 etnik dan 217 sub etnik yang bertutur dalam lebih 50 bahasa dan 80 dialek etnik.

“Keindahan khazanah alam di negeri ini dengan bentuk muka buminya yang bergunung-ganang, pantainya yang luas dan pulau-pulaunya yang indah memukau, sepatutnya pejuang sastera dan budayawan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan itu untuk menghasilkan karya yang indah dan bermutu tinggi.

“Justeru, pemilihan Kota Kinabalu sebagai Tuan Rumah Hari Sastera Ke-19 ini, amatlah dialu-alukan. Semoga majlis ini dapat mengangkat seni dan sastera, bahasa dan budaya orang Sabah ke pringkat nasional dan global,” katanya ketika melancarkan Hari Sastera Ke-19 di Hotel Promenade di sini, pada Jumaat.

Ketua Menteri berkata buku seperti antologi puisi, koleksi cerpen dan novel, misalnya, adalah bahan kesusasteraan yang mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat, terutama jika penulisnya itu seorang sasterawan yang terbilang.

“Sebagai seorang yang meminati kesusasteraan Melayu, saya ingin melihat di Sabah ini mempunyai ramai penulis atau karyawan bukan sahaja terkenal, tetapi tersohor dan termasyhur. Kita mempunyai ramai penulis dan penyair seperti Hasyuda Abadi, Jasni Matlani, Juri Durabi, Siti Rahmah G Ibrahim, Abdul karim Gullam, sekadar menamakan segelintir daripada mereka.

“Pada era 60an hingga 70an, kita mempunyai Jamdin Buyung, K.Bali, Saidi Lampoh (S.Mala), Ismail Abbas (Amil Jaya), M.A. Rahman, Noraini Haji Salleh dan banyak lagi.

Tetapi nama-nama tersebut tidak terangkat hingga ke peringkat nasional –sebagaimana nama-nama besar seperti Abdullah Hussain, Arenawati, Usman Awang, Shahnon Ahmad, Anwar Ridwan dan Lim Swee Tin.

“Justeru, saya rasa, sudah tiba masa, penyair-penyair dan penulis dari Sabah di ketengahkan di peringkat nasional,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap penglibatan karyawan dan penggiat seni dapat menyemarakkan lagi dunia seni dan sastera, bahasa dan budaya di negeri Sabah.

“Selaras dengan inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam pembangunan budaya pelbagai etnik di Sabah, pihak Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) menetapkan tujuh keutamaan untuk dilaksanakan, antaranya pendigitalan seni budaya, pemuliharaan budaya, penyelidikan dan dokumentasi budaya dan pengembangan seni dan perlindungan harta intelek.

“Saya juga yakin, kegiatan bahasa dan sastera di Sabah ini akan terus menyerlah kerana kita mempunyai badan yang bergiat aktif memperjuangkan bahasa dan sastera. Semoga sambutan Hari Sastera ini akan menjadi pemangkin kepada gagasan lebih besar untuk menjadikan Sabah sebagai Dataran Bahasa Sastera dan Budaya yang terpenting di rantau ini,” katanya.

Sempena majlis itu, beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mempertimbangkan satu anguerah khas kepada pejuang sastera di Sabah.

“Perkara ini sudah dibincangkan dengan Datuk Ariffin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Ariffin Arif),” katanya.

Selain Mohd Arifin, turut hadir ialah Presiden Gapena, Datuk Zainal Abidin Datuk Wira Borhan dan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia Merangkap, Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa), Datuk Jasni Matlani.

RELATED ARTICLES
Utama

Letusan Gunung Ruang: MET Malaysia keluar Amaran Cuaca Penerbangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya