HomeIsu tempatanUsaha martabatkan MAN Sabah perjuangan berterusan

Usaha martabatkan MAN Sabah perjuangan berterusan

Read Time:1 Minute, 29 Second

Kota Belud: Usaha bagi memartabatkan Mahkamah Anak Negeri (MAN) Sabah adalah perjuangan berterusan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) agar ia setaraf dengan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick berkata, setakat ini Sabah mempunyai tiga jenis mahkamah iaitu Mahkamah Sivil, Mahkamah Syariah dan Mahkamah Anak Negeri.

“Perjuangan saya dan parti UPKO sejak dahulu adalah supaya ketiga-tiga mahkamah ini sama taraf. Sebab itu UPKO akan terus memainkan peranan penting memartabatkan Mahkamah Anak Negeri dan ianya akan menjadi perjuangan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Literasi Undang-Undang Adat Negeri anjuran Persatuan Wanita dan Keluarga Kota Belud (KBwake), di Skyblue Kg.Piasau, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, antara kejayaan yang telah dicapai oleh UPKO selama ini ialah penubuhan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri Sabah (ILMAN) di Penampang.

“Saya juga telah mencadangkan supaya bangunan MAN di Kota Belud diwujudkan dan berharap ia dapat dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030). Bangunan MAN di Kota Belud perlu dibina supaya tidak perlu lagi menumpang di Pejabat Daerah. Hanya kita perlu mengenalpasti tapak cadangan bangunan tersebut.

“Dari segi peruntukan, kita boleh memohon daripada kerajaan persekutuan melalui program khas anak negeri Sabah sekiranya tapak sudah dikenalpasti. Saya cadangkan bangunan MAN Kota Belud dibina di kawasan Kadamaian,” katanya.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau turut menggalakan masyarakat Anak Negeri agar menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

“MAN ini adalah mahkamah milik kita. Oleh itu saya menggalakkan semua masyarakat anak negeri di Sabah supaya menggunakan mahkamah ini untuk urusan-urusan yang berada di bawah bidangkuasa MAN, misalnya perkahwinan, pertunangan dan isu-isu berkaitan tanah anak negeri.

“Saya sendiri mendaftarkan perkahwinan saya melalui Mahkamah Anak Negeri Kota Belud,” katanya.

Seminar sehari itu dihadiri seramai 80 peserta.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

100 warga emas diraikan sempena Hari Natal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular