HomeIsu tempatanLebih 1,000 pengunjung meriahkan Program Semarak ESSCOM di Kalabakan

Lebih 1,000 pengunjung meriahkan Program Semarak ESSCOM di Kalabakan

Read Time:1 Minute, 59 Second

Kalabakan : Lebih 1,000 pengunjung sekitar daerah ini hadir memeriahkan Program Semarak Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) 2023 @ Kalabakan yang dilaksanakan selama dua hari bermula semalam.

Program yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi kesedaran keselamatan dan tahap patriotisme masyarakat di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) khususnya di Daerah Kalabakan itu telah berlangsung di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Kalabakan dan dianjurkan bersama ESSCOM dan Pejabat Daerah Kalabakan.

Komander ESSCOM Deputi Komisioner Victor Sanjos berkata, pemilihan Kalabakan sebagai lokasi penganjuran adalah kerana daerah itu terletak berhampiran dengan sempadan negara.

Katanya, daerah itu juga dilihat memiliki potensi tinggi untuk berlakunya jenayah rentas sempadan oleh anasir asing.

“Justeru, ESSCOM mengambil inisiatif mengadakan program di sini bagi mengukuhkan lagi mengenai kesedaran keselamatan dan tahap patriotisme masyarakat Kalabakan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kalabakan, Muhammad Mohd. Ali berkata, program seumpama ini amat penting diadakan di daerah itu sebagai sebahagian daripada program pembangunan selain perancangan membangunkan daerah ini dari segi fizikal.

Antara aktiviti yang diadakan sempena program berkonsepkan mini karnival itu ialah Taklimat Keselamatan dan Majlis Dialog oleh Bahagian Perisikan ESSCOM, ceramah oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.

Selain itu, turut diadakan demonstrasi Unit Anjing Pengesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) (K9), demonstrasi kemalangan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan saringan pemeriksaan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Kalabakan dan Pejabat Pergigian Cawangan Tawau.

Pertandingan mewarna kanak-kanak juga diadakan di bawah kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang turut terlibat mengadakan pameran serta demonstrasi memasak masakan etnik berasaskan ubi daripada suku kaum Tidong.

Selain ESSCOM yang membawa peralatan taktikal untuk dipamerkan, sebanyak 13 Jabatan dan agensi Kerajaan lain turut terlibat menjayakan pameran seperti JPN, JIM, Jabatan Keselamatan Jenayah dan Keselamatan Komuniti dan Trafik IPD Tawau, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH), Rejimen 516 Askar Wataniah dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Sementara itu, bagi memeriahkan lagi program ini, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Tawau FM turut membuka studio mini.

Terdahulu, turut diadakan pertandingan karaoke untuk kategori remaja dan kategori veteran yang dikendalikan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Pejabat Daerah Kalabakan serta sukaneka oleh Persatuan Belia dan Penggerak Wanita Kampung Pekan Kalabakan.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM, Dr. Jamaluddin Mohd. Ali; Pengarah Pilihan Raya Negeri Sabah Rohiman Rahia dan Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Champin Piuh.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

PKK Biz @ Akademia catat lebih RM20,000 nilai jualan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular