HomeUtamaUMS perlu lahirkan graduan penuhi keperluan tenaga kerja mahir

UMS perlu lahirkan graduan penuhi keperluan tenaga kerja mahir

Read Time:1 Minute, 31 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi yang mampu menjadi pusat ilmu unggul dan menghasilkan graduan berdaya saing serta berinovasi.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini adalah bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir untuk negara dan antarabangsa.

Katanya, dalam konteks pendidikan, hala tuju Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe12) telah menggariskan tumpuan kepada pembangunan bakat masa hadapan iaitu peningkatan kualiti pendidikan bagi memastikan pelajar yang dihasilkan memenuhi standard yang diperlukan terutamanya oleh industri.

“Oleh itu, pihak institusi pengajian tinggi termasuk UMS digalakkan untuk memperkukuh lagi kerjasama dengan pemain industri khususnya dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.

“Kerajaan negeri yang mengamalkan mesra pelabur amat memerlukan graduan yang berpengetahuan dan berkemahiran untuk memenuhi permintaan pihak industri. Saya berharap UMS akan menjadi universiti yang mampu mengeluarkan graduan yang tersedia masa hadapan”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ikrar dan Aku Janji sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2023/2024 Kali Ke-29 UMS di Dewan Canselor UMS di sini hari ini.

Hajiji yang juga Pro Canselor UMS berkata, Kerajaan negeri terus komited dan sentiasa memberi kerjasama kepada UMS dalam membantu usaha ke arah kemajuan dan peningkatan tahap pendidikan tinggi negara.

Katanya, ia juga bersesuian dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan sebagai teras utama dalam memulihkan semula ekonomi, termasuk pembangunan modal insan.

“Kerajaan Negeri juga sentiasa komited untuk memperkasa pembangunan pendidikan dan infrastrukturnya dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti kerana dengan pendidikan yang baik akan berupaya mengubah kualiti hidup rakyat yang akhirnya menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan negara khususnya negeri Sabah.

“Kita tidak mahu ada yang terpinggir daripada menerima pendidikan di negeri ini. Justeru beberapa inisiatif telah diambil oleh Kerajaan Negeri dalam membantu anak-anak Sabah melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JKM

RELATED ARTICLES
Utama

Tiga rumah musnah terbakar, seorang mangsa melecur

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya