Kundasang : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan menghubungi Dr Muhammad Akmal Salleh berhubung dakwaan mengenai kewujudan kartel beras di negara ini.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, arahan itu dikeluarkan adalah bagi mendapatkan maklumat lanjut daripada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO untuk tindakan segera.
“Semalam dalam perjumpaan di peringkat KPDN saya telah mengarahkan supaya MyCC dan juga Bahagian Penguatkuasa KPDN untuk berjumpa menghubungi YB Dr Akmal bagi mendapatkan maklumat selain membantu kita dari aspek pembuktian tersebut.
“Ini adalah bagi membolehkan siasatan lanjut dapat kita laksanakan di peringkat KPDN. Kita mengambil serius tentang apa juga aduan yang dikemukakan yang menyentuh kepentingan rakyat sebagaimana kita lakukan terhadap dakwaan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Minggu Sains dan Teknologi Dalam Mengurangan Risiko Bencana dan Daya Tahan (STDR3) di sini hari ini.
Isnin lalu, Dr Muhammad Akmal Salleh membongkar modus operandi kartel yang menggunakan beras hancur sebagai beras tempatan kerana ia boleh dijual dengan bukan harga kawalan.
Dalam pendedahan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, terdapat perbezaan antara beras super spesial tempatan (SST) dan beras hancur.
“Disebabkan beras hancur boleh dijual dengan bukan harga kawalan, maka kartel beras ini telah menjual beras standard dengan harga beras hancur.
“Jika harga beras tempatan ditetapkan pada RM2.60 per kg (/kg) tetapi kartel ini telah menjual dengan harga RM3.4/kg apabila menukarkan bil jualan mengikut harga beras hancur. Inilah antara pengkhianat yang menekan rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Dr Muhammad Akmal menegaskan, penguatkuasaan yang ketat dan secara menyeluruh perlu dilakukan dan mewujudkan semula lembaga padi dan beras.