HomeUtamaPETIK dibentuk tingkat keharmonian perusahaan negara secara umum

PETIK dibentuk tingkat keharmonian perusahaan negara secara umum

Read Time:2 Minute, 3 Second

Kota Kinabalu : Pelan Tindakan Keharmonian Perusahaan Nasional (PETIK) telah dibentuk bagi meningkatkan keharmonian dalam syarikat secara khusus dan mencerminkan keharmonian perusahaan negara secara umumnya. 

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata, Productivity-Linked Wage System (PLWS) merupakan satu sistem yang mewujudkan hubungan antara upah dengan produktiviti yang membolehkan pekerja-pekerja mendapat upah yang adil hasil daripada peningkatan produktiviti dan prestasi.  

Katanya, pelaksanaan PLWS juga dapat meningkatkan daya saing dan produktiviti syarikat serta memupuk kestabilan pekerjaan.  

“Ia juga membolehkan pekerja menikmati hasil daripada peningkatan produktiviti dan seterusnya memperbaiki kualiti kehidupan pekerja. Sehingga kini, jumlah majikan yang melaksanakan PLWS bagi Sabah adalah sebanyak 7,551 dan sebanyak 359,161 pekerja telah menikmati faedah pelaksanaan PLWS ini. 

“Manakala ‘National Industrial Harmony Index’ (IHI Nasional) yang diperkenalkan semenjak 2017 merupakan satu instrumen untuk mengukur tahap keharmonian perusahaan negara melalui lima dimensi iaitu hubungan memupuk, keterhubungan, saling bekerjasama, saling berdamai dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Simposium Keharmonian Perusahaan Wilayah Sabah 2023 di sini semalam.

Ruslan berkata, IHI yang dijalankan pada tahun 2022 juga mendapati Negeri Sabah telah menunjukkan peningkatan skor daripada 73.6 peratus bagi tahun 2019 kepada 78.8 peratus pada tahun 2020 dan seterusnya melonjak kepada 79.2 peratus pada tahun lalu. 

Katanya, tren peningkatan skor IHI bagi Negeri Sabah adalah sebanyak 5.6 peratus dan ianya melebihi peningkatan skor IHI Nasional iaitu 1.6 peratus.

Tambahnya bagi tahun lalu, daripada tujuh sektor yang dinilai, sektor bekalan air, pembentungan, pengurusan sisa dan aktviti pemulihan mencatatkan skor tertinggi iaitu sebanyak 83.81 peratus.

“Skor IHI bagi tahun lalu menunjukkan tahap keharmonian perusahaan di Negeri Sabah adalah ‘baik’ dan konsisten. Skor ini diharapkan dapat dipertingkatkan ke tahap Cemerlang iaitu 90 peratys kerana ianya adalah penandaarasan yang penting untuk menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang baik di antara majikan dan pekerja dalam usaha menarik pelaburan asing ke dalam negara.

“Dari konteks ini, kerajaan berpendapat bahawa usaha-usaha pencegahan awalan dari Jabatan seperti lawatan harmoni, dialog sosial serta simposium keharmonian perusahaan yang telah dijalankan berjaya meningkatkan kesedaran di kalangan majikan dan pekerja bahawa persefahaman dan permuafakatan mampu menjadikan suasana di tempat pekerjaan lebih harmoni,” katanya.

Dalam pada itu, Ruslan berkata, Kerajaan sentiasa mengambil inisiatif dan bertindak secara proaktif dalam menjaga keharmonian industri dengan kerjasama semua pemain industri iaitu majikan, pekerja dan kesatuan sekerja mereka.  

“Justeru, pelbagai program seperti simposium, bengkel, seminar dan persidangan sentiasa dilaksanakan bagi mempromosi keharmonian perusahaan di negara ini,” katanya. – SABAH MEDIA.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular