HomeUtamaBERNAS perlu import BPI pastikan bekalan beras negara mencukupi, stabil

BERNAS perlu import BPI pastikan bekalan beras negara mencukupi, stabil

Read Time:2 Minute, 39 Second

Kota Kinabalu : Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) perlu mengimport Beras Putih Import (BPI) bagi memastikan bekalan beras negara mencukupi dan kekal stabil meskipun pada harga pasaran yang lebih tinggi bagi menampung keperluan penduduk sebanyak 37 peratus.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, meskipun harga pasaran tinggi namun BERNAS masih mengekalkan harga jualan BPI di pintu gudang pada harga RM2,350 per tan metrik dengan menyerap kesan kenaikan harga beras import sejak tahun lalu.

Katanya, perkara itu berisiko menjejaskan operasi perniagaan dan kedudukan kewangan BERNAS serta 10 obligasinya kepada pihak Kerajaan.

“Berikutan kenaikan harga BPI di pasaran dunia secara mendadak selepas larangan eksport oleh Kerajaan India, BERNAS telah mengumumkan pelarasan harga jualan BPI di pintu gudang BERNAS seluruh negara daripada RM2,350 per tan metrik kepada RM3,200 per tan metrik berkuat kuasa pada 1 September lalu sejajar dengan harga terkini BPI di pasaran antarabangsa.

“Sekiranya kenaikan harga BPI berterusan tanpa pelarasan harga jualan dilaksanakan, BERNAS akan mengalami kerugian pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023. BERNAS juga dijangka akan hilang kemampuan untuk berkongsi 30 peratus keuntungan bersih pengimportan dengan pesawah sehingga membawa implikasi negatif kepada Kerajaan.

“Walau bagaimanapun, harga jualan BPI akan diselaraskan oleh BERNAS dari semasa ke semasa tertakluk kepada harga pasaran beras global (harga freight on board – FOB) dan kadar nilai tukaran mata wang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan penerangan kepada Ahli Parlimen berkenaan isu bekalan beras tempatan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mohamad berkata, kesan pelarasan harga BPI ini telah menyebabkan permintaan Beras Putih Tempatan (BPT) meningkat secara mendadak kerana harga BPT yang dikawal oleh Kerajaan iaitu RM2.60 sekilogram adalah lebih murah berbanding BPI yang tiada kawalan harga.

“Ini memberi tekanan kepada permintaan terhadap BPT di pasaran. Selain itu, penurunan hasil pengeluaran padi tempatan atas pelbagai faktor luaran seperti perubahan iklim dan serangan penyakit,’ katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, jumlah stok bekalan beras sehingga 3 Oktober lalu adalah sebanyak 820,482 tan metrik yang terdiri daripada 250,000 tan metrik stokpail Kerajaan dan 570,482 tan metrik stok dagangan.

Katanya, jumlah ini adalah mencukupi untuk menampung keperluan beras negara bagi tempoh empat hingga lima bulan.

Sementara itu, Mohamad berkata, pihaknya juga kini telah dan sedang mengambil beberapa langkah intervensi termasuk melaksanakan Program Khas BPT.

Katanya, sehingga 7 Oktober lalu sebanyak 708,978 kampit BPT 10 kilogram telah diedarkan di seluruh Semenanjung melalui rantaian peruncit seperti pasaraya, rantaian premis serta outlet FAMA dan LPP.

“Pecahan agihan adalah merangkumi Pasaraya sebanyak 423,816 kampit (60%); FAMA sebanyak 109,829 kampit (16%) ; LPP sebanyak 60,240 kampit  (9%)  dan Pemborong (edaran peruncit) sebanyak 115,093 kampit (16.2%)

“Ini mengambarkan FAMA dan LPP hanya diberi peranan dalam tempoh intevensi manakala pasaraya dan pemborong, peruncit terus diberi peranan utama memasarkan BPT di pasaran. Program ini dilaksanakan bagi tempoh setahun bagi memastikan bekalan BPT stabil, cukup dan terjamin.

“Pihak kementerian juga telah mengadakan sesi libat urus dengan beberapa persatuan restoran, pengusaha makanan dan penjaja kecil pada 15 September 2023 dan persetujuan telah dicapai untuk memberikan lesen borong kepada persatuan bagi membolehkan mereka membeli BPI pada harga borong di pintu gudang tertakluk kepada syarat dan peraturan yang telah dipermudahkan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Laluan berhampiran Menara Kinabalu ditutup sebahagian 31 Disember ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular